"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Judin teraniaya: Rekod hitam sejarah 120 tahun JKR!


ANIS NAZRI
MSSA Intl Convention - Dato' Sri Ir Dr Judin Abd Karim, D-G Public Works 1PAS menuntut Kementerian Kerja Raya memberikan alasan munasabah kepada umum berhubung perpindahan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Dato' Seri Ir Dr Judin Abd Karim, ke satu jawatan yang lebih rendah, baru-baru ini.

Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar, berkata penjelasan itu diperlukan memandangkan rekod perkhidmatan Judin dikatakan bersih, amanah dan bertanggungjawab selama menjalankan tugas beliau di JKR.

Beliau yang melahirkan rasa kesal dengan perpindahan tersebut, berkata kementerian sewajarnya berasa bangga memiliki pegawai yang bertanggungjawab dan berintegriti dalam melaksanakan tugas, bukan bertindak sebaliknya dengan memindahkan beliau ke jabatan yang lebih kecil.

Mulai 1 Mei lalu, Judin dilantik sebagai Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB). Meskipun mendapat bantahan awam dan protes senyap kakitangan JKR, kerajaan tetap berkeras "menghukum" Judin yang dikenali sebagai pegawai kanan berintegriti tinggi.

"Saya difahamkan, Judin bersikap tegas memastikan setiap prosedur berkaitan tender kerajaan dipatuhi oleh kontraktor.   Dalam kes kontroversi pembinaan Istana Negara (yang menelan belanja di luar jangka), beberapa keputusan Judin, termasuk untuk menamatkan khidmat kontraktor utama yang mempunyai prestasi buruk, menjadi punca beliau disingkirkan," dakwa beliau.

Tambah Mahfuz, tindakan kementerian itu turut bertentangan dengan Pelan Integriti Nasional (PIN) yang dilancarkan pada 2004 bagi meningkatkan integriti penjawat awam apabila berlaku peminggiran terhadap pegawai yang berintegriti seperti Judin.

Katanya, perpindahan itu menimbulkan pelbagai persoalan tentang kemungkinan berlaku pertembungan penyalahgunaan kuasa di peringkat kementerian untuk meminggirkan sesiapa pegawai yang tidak sealiran dengan 'pihak tertentu'.

Selain kesal dengan tindakan kementerian tersebut, kekesalan Mahfuz turut dilemparkan terhadap Ketua Setiausaha Negara (KSN) apabila tidak mempertahankan Judin, sedangkan beliau bertanggungjawab penuh ke atas pegawai-pegawai yang bertanggungjawab.

"Adakah KSN turut terlibat dalam konspirasi ini, hingga mendiamkan sahaja perkara tersebut?  Sedangkan pegawai seperti Judin inilah yang sebaik-baiknya untuk kebaikan dan pembangunan negara," kata Mahfuz.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad menegaskan tindakan yang dikenakan terhadap Judin itu menunjukkan kerajaan benar-benar tidak komited dalam mengembalikan dan meningkatkan integriti sistem pentadbiran negara.

Tegas beliau, sekiranya kerajaan benar-benar komited dalam soal integriti ini, badan-badan seperti kehakiman dan penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan badan-badan lain perlu diberi isyarat yang baik sekiranya pegawai mereka bertindak dengan penuh tanggungjawab.

"Tindakan ini seolah-olah menunjukkan kerajaan pimpinan Najib Tun Razak ini 'bermusuh' dengan pegawai kerajaan yang melaksanakan tugas mereka dengan amanah dan bertanggungjawab.  Persoalannya, apakah isyarat yang ingin diberikan kepada kakitangan kerajaan ini?  Tindakan terhadap Judin ini hanya menunjukkan pertentangan amalan dengan PIN yang dilancarkan sebelum ini," tegas beliau.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata pegawai-pegawai awam ini sepatutnya diberikan kepercayaan atas keupayaan mereka menjalankan tugas dan amanah yang diberikan, bukan 'dihukum' kerana bertanggungjawab.

Tambahnya, situasi ini akhirnya akan menyebabkan pegawai kerajaan akan dilihat menjadi penakut, tidak bebas dan sentiasa dilihat terkongkong, yang kemudiannya menyebabkan sistem pentadbiran negara tidak akan dapat dipertingkatkan.

Dalam pada itu, beliau berkata sekiranya Pakatan Rakyat memerintah, Pakatan Rakyat akan memastikan perkara sedemikian tidak akan berlaku dan berusaha untuk mengembalikan dan memulihkan integriti badan-badan kehakiman dan penguatkuasaan yang selama ini mengundang persepsi negatif di kalangan rakyat.

Ketua Pengarang Kumpulan 
Harakah, Ahmad Lutfi Othman, yang  mula mendedahkan pertukaran mendadak Judin itu awal April lalu, turut mendesak Menteri Kerja Raya, Dato' Shaziman Abu Mansor memberikan penjelasan segera.

"Shaziman seorang yang berpengalaman sebagai jurutera awam sepatutnya mempertahankan Judin daripada tekanan politik elit penguasa dan kontraktor bermasalah. Pertukaran Judin adalah satu pengkhianatan terbuka kerajaan terhadap kakitangan awam yang berintegriti tinggi dan beretika cemerlang," tegas Lutfi.

"Kes Judin tidak boleh dipandang remeh. Sikap berdiam diri Perdana Menteri, Najib Razak amat dikesali. Dia mesti memberi jawapan di atas pertukaran  jelas yang mahu mengaibkan Ketua Pengarah Kerja Raya itu," tambah Lutfi.

Beliau menegaskan: "Ini merupakan rakaman hitam sepanjang sejarah JKR yang sudah berusia 120 tahun. Tidak pernah seorang Ketua Pengarah Kerja Raya ditukarkan ke jawatan lebih rendah walhal Judin dikenali ramai, khususnya warga JKR sebagai pegawai kanan berintegriti tinggi dan teguh memegang prinsip kerja."
-------
Nyatakan sokongan anda kepada Dato' Seri Ir Dr Judin Abdul Karim dalam facebook Sokong Judin Karim

Tiada ulasan: