"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Popeye benci bayam

LENGAN lelaki ini mempunyai ukur lilit 79sm.
MOUSTAFA ISMAIL, 24, telah menghabiskan masa selama 10 tahun mengangkat besi berat sebanyak dua kali sehari dalam usaha menjaga kesihatan dan kini, dia dinobatkan sebagai manusia pemilik otot bisep terbesar di dunia iaitu dengan ukur lilit 79 sentimeter.

Lelaki yang berasal dari Iskandariyah, Mesir ini seringkali disamakan dengan Popeye walaupun hakikatnya dia membenci bayam iaitu makanan kegemaran watak kartun popular itu.

Dia yang lebih dikenali sebagai 'Big Mo' oleh rakan-raknnya berpindah ke Amerika Syarikat (AS) bersama keluarganya untuk mendapatkan lebih akses kepada peralatan senaman yang lebih baik.

"Orang selalu bercakap yang saya sama seperti watak kartun lelaki kelasi bernama Popeye.

"Mendengar mereka berkata begitu, saya hanya tertawa kerana saya tidak pernah mengambil bayam dalam diet saya.

Ayam

"Saya hanya mengamalkan makan sebanyak satu kilogram (kg) ayam, 0.45kg daging atau ikan dan empat cawan badam dengan 7.5 liter air serta tiga liter air minuman kocak protein setiap hari.

"Saya lebih menyukai ayam daripada bayam.

"Sebenarnya saya fikir tangan saya kini lebih besar daripada watak kartun itu," jelasnya.

Moustafa yang tinggal dengan isterinya, Carolina, 30, menerima beratus-ratus pujian pada lengannya yang semakin hari semakin membesar apabila dia memasuki gimnasium.

"Rakan-rakan di gimnasium kurang yakin lengan saya boleh menjadi begitu besar.

"Tetapi sejak itu, saya memutuskan untuk menumpukan semua usaha bagi menjadikan bisep saya lebih besar daripada sedia ada.

"Apabila gagal memperoleh tempat dalam pasukan bina badan Mesir lima tahun lalu, saya berpindah ke AS," ujarnya.

Dia kini berlatih sekurang-kurangnya dua kali sehari dan boleh mengangkat beban seberat 226kg.

Dia yang juga seorang fanatik gimnasium mengaku mengambil air minuman kocak protein untuk membantu membina badannya tetapi bonjolan yang diperolehnya itu adalah diwarisi secara turun-temurun menerusi genetik kerana bapanya seorang ahli gusti Mesir.

"Saya sangat berdisiplin dalam melakukan rutin latihan. Seawal pukul 5 hingga 8 pagi diperuntukkan untuk membuat latihan kardio dan membentuk otot badan.

"Sekiranya saya tidak mengangangkat berat, saya akan mengepam petrol di dua stesen minyak kepunyaan saya yang terletak berdekatan rumah di Massachusetts, AS," beritahu beliau.

Tambahnya, bebanan kerja yang dialami membuatkan moodnya menjadi lebih baik.

"Sekiranya anda suka dengan jenis sukan yang anda sertai, anda boleh melihat peningkatan dalam bentuk badan anda," katanya.

"Saya tahu bisep, dada, bahu dan tangan saya semakin berat tetapi saya menyukainya," tuturnya yang akan muncul dalam Guinness Book of World Records edisi 2013.

Moustafa berharap statusnya sebagai pemecah rekod dunia itu akan membantunya menjadi seorang ahli bina badan profesional.

Tiada ulasan: