"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib resah PRU13 menyentap kuasa Umno

SAFAR JUMAAT
TIDAK mustahil, Parlimen dibubarkan hujung Januari. Penamaan calon sebelum sambutan Tahun Baru Cina, 10 Februari dan hari pengundian, 10 hari berikutnya.Ada juga yang mengatakan 22 Februari hari pembubaran Parlimen, 16 Mac hari penamaan calon dan 30 Mac, pengundian berlangsung.
Ahad, 20 Mac lalu, Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dilihat berada di Ibu Pejabat BN bersama-sama beberapa pemimpin kanan Umno, dikatakan mendengar taklimat akhir dari "war room" Umno, mengenai calon-calon Umno.
Beberapa hari sebelum itu, Najib selaku Pengerusi BN mengadakan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di PWTC.

Semua Presiden parti-parti komponen dikatakan sudah menyerahkan senarai calon kepada Najib sejak dua bulan yang lalu.

Pengerusi-Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri-negeri dikatakan turut berbuat demikian, sebulan yang lalu dan Najib dikatakan sudah meneliti kesemua senarai calon yang diserahkan, dengan sedikit pindaan dibuat di saat-saat akhir.

Khabarnya, BN mempunyai keyakinan penuh memenangi semula PRU-13, berdasarkan rekod dan akujanji semua parti-parti komponen BN.

Satu sumber yang rapat dengan Umno Selangor memberitahu, Najib sebenarnya mahu membubarkan Parlimen hujung 2012 yang lalu.

Namun, bimbang beberapa negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat (PR) tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) masing-masing, menyebabkan Najib dinasihatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya membawa tarikh pembubaran ke penghujung hayat Parlimen dan Dun bagi membolehkan Parlimen dan Dun terbubar sama.

Najib selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor, khabarnya ingin sangat melihat Selangor ditawan semula oleh BN, meskipun dengan majoriti mudah.

Walaupun BN tidak yakin dapat berbuat apa-apa dengan Pulau Pinang dan Kelantan, tetapi mereka amat-amat berharap menang semula di Kedah, selepas Selangor.

Masalah yang Umno-BN hadapi sekarang, krisis dalaman di peringkat bahagian-bahagian.

Di Wangsa Maju, MCA sudah melahirkan rasa kecewanya dengan sikap kepimpinanan Umno bahagian itu yang memonopoli pembahagian Bantuan Awal Persekolahan RM100.

Di Gombak, MIC kecewa dengan sikap Ketua Umno Bahagian yang cuba mengganggu Penyelaras Dun Batu Caves dalam menyampaikan bantuan serupa.

Khabarnya, Najib buntu dengan perkembangan tidak sihat ini tetapi beberapa orang kepimpinan bahagian yang ditanya mengenai isu tersebut memberitahu, Najib sendiri mempunyai masalah dengan pendedahan tauke permaidani Deepak Jaikeshan, sepatutnya tidak sibuk mahu menyelesaikan masalah dalaman peringkat bahagian, sebaliknya membersihkan namanya dan isterinya di mata umum.

Perbalahan berterusan antara bekas Presiden MCA, Dato' Seri Ong Tee Keat dengan Presiden sekarang, Dato' Seri Dr Chua Soi Lek juga cukup memberi tekanan kepada jentera MCA di semua peringkat.

Jentera MCA sedar, terlalu sukar bagi mereka untuk menarik sokongan daripada pengundi Cina kerana kedudukan ekonomi masyarakat Cina sudah tidak memerlukan mereka bergantung bantuan daripada pihak kerajaan.

Malahan, parti-parti politik yang bergabung dalam BN masih mengharapkan bantuan kewangan dari tauke-tauke Cina.

Berbeza dengan masyarakat India, sebahagian besarnya masih bergantung kepada bantuan Kerajaan BN yang memudahkan MIC menarik mereka untuk memberi sokongan kepada BN.

Berbeza dengan PPP, Gerakan, MCA, MIC dan lain-lain parti komponen BN, Umnolah parti yang paling sukar untuk memutuskan siapa yang patut dicalonkan kali ini.

Isu yang mereka bangkitkan, ada calon-calon yang sudah terlalu lama patut digantikan, tetapi tiada siapa yang dilihat mampu mengambil tempat orang lama ini, kerana tidak berjawatan di peringkat bahagian.

Amaran dikeluarkan oleh kepimpinan Umno, bahawa sesiapa yang mensabotaj parti dan calon dalam PRU-13 akan datang akan dikenakan tindakan, tidak sedikit pun menjadi halangan untuk mereka yang gagal mendapat tempat, untuk melakukannya.

Najib sedar, jika Umno tewas kali ini bermakna, berakhirlah riwayat parti Melayu yang ditubuhkan sejak 1946 oleh Allahyarham Dato’ Onn Jaafar.

Itu sebabnya, Najib bermati-matian mahu mempertahankan kerajaan yang ada dan sering mengingatkan ahli-ahli Umno bahawa inilah pilihan raya yang paling kritikal dan penentu antara hidup atau mati Umno.

Najib tidak mahu keputusan PRU-13 sama seperti keputusan PRU-12 kerana beliau mungkin disentap turun dari kerusi Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Beliau juga bimbang, ditangan beliau, BN dan Umno tumbang seperti mana yang pernah berlaku kepada Dr Mohamad Khir Toyo di Selangor; Tan Sri Mohamad Tajol Rosli Ghazali di Perak; Dato' Seri Mahdzir Khalid di Kedah; Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (Gerakan) di Pulau Pinang dan 22 tahun yang lalu, Allahyarham Tan Sri Mohamad Yaakob di Kelantan.

Najib nampak apa yang berlaku di Kelantan, apabila Umno tumbang, hasrat untuk mendapatkan semula tampuk kuasa "macam menunggu kucing bertanduk".

"1 Juata Himpunan Kebangkitan Rakyat" (HKR112) yang berlangsung baru-baru ini cukup mengejutkan Najib kerana selama ini beliau merasakan program transformasi yang dilakukannya sudah diterima rakyat.

Tetapi apabila melihat begitu ramai datang berhimpun di Stadium Merdeka, Najib tahu "barang jualannya" bernama "1Malaysia" tidak laris di pasaran.

Malahan, boleh dikatakan tidak diterima di pasaran terbuka, kecuali dibeli oleh orang-orang Umno yang berkepentingan.

Masa untuk melewat-lewatkan lagi PRU-13 sudah sampai ke garisan penamat. Najib tidak mempunyai banyak ruang untuk pergi lebih jauh.

Apa yang boleh, terus menabur janji, termasuk tujuh projek besar di Kelantan, ketika kunjungannya ke sana, 20 Januari yang lalu.

Pembinaan Lebuhraya Kuala Krai-Kota Bharu bukan cerita baru. Rakyat Kelantan sudah tahu ia suatu pembohongan nyata.

Membina masjid terbesar sebagai ikon; 3,000 unit Program Perumahan Rakyat; Kampus Bandar UiTM yang boleh memuatkan 5,000 pelajar; Sistem Pengangkutan Rapid Kota Bharu; membina stadium baru dan menangani masalah air, diterima rakyat dengan hati terbuka.

Namun, rakyat tahu parti mana yang boleh mereka sokong bagi menjamin pentadbiran yang bersih, telus, bebas rasuah dan tidak menganiayai rakyat.

Di bawah kepimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Aziz Nik Mat, Kelantan terus membangun bersama Islam yang begitu disegani kini.

Silalah! Bubarkan Parlimen dan rakyat akan membuat pilihan selepas mereka menilai segala-galanya.

Tiada ulasan: