SELEPAS 100 hari PRU13 berlalu, saya perhatikan tidak ada keghairahan baru dalam politik Kelantan.
Ini kerana kerajaan barunya sekadar meneruskan dasar lama sahaja. Kenapa begitu kering dan miskinnya idea kerajaan baru Kelantan ini?
Adakah cukup sekadar menjadi kerajaan ‘punch card’ sahaja (masuk pejabat jam 8pagi dan balik jam 5ptg?).
Persoalannya, jika sekadar meneruskan dasar lama sahaja, mengapa tidak meneruskan projek Lebuh Raya Rakyat?
Mengapa diam sahaja dengan projek stadium? Teruskanlah sahaja dua projek lama tersebut kerana ia membawa manfaat untuk rakyat, khususnya Projek Lebuh Raya Rakyat.
Kerajaan negeri perlu tahu bahawa rakyat yang tinggal di Kuala Lumpur sudah tidak tahan lagi memandu kereta sehingga 15 jam untuk sampai ke Kota Bharu semata-mata kerana jalannya sesak.
Projek ini nampaknya sudah macam tertangguh kerana tidak ada maklumat dan pengumuman baru mengenainya. Kontraktor utama juga sudah menarik diri kerana tidak ada jaminan daripada kerajaan negeri tentang pembayaran pelaksanaan projek ini.
Saya ingin katakan kepada kerajaan negeri, jika tidak ada duit untuk meneruskan projek ini, cari jalan penyelesaiannya.
Sekiranya jalannya adalah dengan memohon bantuan dari kerajaan pusat, maka teruskan perundingan itu secepatnya.
Yang penting projek ini perlu diteruskan dan diselesaikan. Ini kerana telah banyak kos awal pengambilan tanah dan lain-lain telah dibelanjakan dan wang rakyat pun telah dikutip.
Jika sekadar meneruskan dasar lama, mengapa juga diam terus dengan projek stadium?
Memang projek stadium tidak sepenting projek Lebuh Raya Rakyat, tetapi pembinaannya boleh menjana ekonomi negeri.
Harga tanah berdekatan stadium akan melonjak, banyak rumah baru boleh dibina, kawasan padat di bandar boleh dikurangkan dan perniagaan baru boleh dibuka oleh rakyat.
Projek pembinaan stadium ini mudah sahaja dilaksanakan jika kerajaan negeri serius mahu meneruskannya.
Cuma dalam melaksanakan projek ini, kerajaan negeri dan barisan kepemimpinannya perlu kreatif dan berusaha sedikit mencari idea bagaimana mahu membina, membangun dan mengembangkannya.
Satu yang saya lihat ada sedikit perubahan ialah dari segi bekalan air.
Saya lihat kuantiti airnya semakin banyak, tetapi tidak kualiti airnya. Sistem perawatan air masih banyak yang perlu ditingkatkan kerana airnya masih kuning.
Saya dikhabarkan oleh sumber yang boleh dipercayai bahawa isu air ini akan selesai pada akhir tahun ini. Semoganya!
Maka, apa yang barunya dengan dasar kerajaan sekarang?
Satu yang dapat saya perhatikan ialah membenarkan wanita menyertai musabaqah Al-Quran. Lain-lain tidak ada.
Jika betullah pemerhatian ini, saya kira ini amat malang bagi rakyat Kelantan yang mengharapkan kerajaan negeri lebih baik dari yang dahulunya.
Dari aspek lain, saya fikir ada beberapa pencapaian kerajaan negeri yang boleh direkodkan.
Saya melihat pengurusan kerajaan tempatan, khususnya kebersihan bandar dan hubungan keajaan pusat-negeri adalah lebih baik dari kerajaan sebelum ini.
Semoga hubungan tidak lagi tegang dan kerajaan pusat-negeri boleh saling bekerjasama dengan menghormati prinsip persekutuan.
Tapi soal tuntutan royalti minyak, itu perlu teruskan kerana ia hak Kelantan. Jika kerajaan pusat mempunyai tafsiran yang berbeza tentang hak Kelantan ini, uruskan hal ini di mahkamah untuk mendapatkan keputusan yang lebih autoritatif.
Dengan kekurangan kerajaan Kelantan hari ini, maka apa yang perlu dilakukan oleh kerajaan negeri untuk membangunkan rakyatnya?
Banyak hal baru yang boleh saya cadangkan. Cuma dalam tulisan ringkas ini, saya mahu mencadangkan kerajaan negeri menghidupkan kembali program pertanian dan penternakan kambing Jamnapari yang tergendala.
Projek kambing ini memang gagal, tapi ia merupakan projek baik untuk rakyat.
Saya lihat di Kelantan sekarang ini jika ada majlis kenduri kendara, rakyat bercakap tentang kambing panggang dan nasi Arab.
Ini menunjukkan projek kambing ini ada sambutan rakyat, tetapi kerajaan negeri pula tidak menyambutnya. Exco Pertanian perlu mengambil perhatian tentang hal ini.
Begitu juga dengan projek pertanian yang lain. Banyak yang boleh ditanam dan dikembangkan. Projek padi organik di Tunjong sudah tidak kedengaran lagi.
Apapun kegagalan projek lepas, saya harap selepas ini kerajaan negeri dapat menjadikan Kelantan yang mempunyai tanah luas itu sebagai negeri yang mampu sara diri dari segi keselamatan makanan.
Kelantan dekat dengan Thailand, maka ambillah sedikit ‘bau’ dari kejayaan pertanian Thailand untuk dibawa ke Kelantan.
Selepas dari Hari Raya ini, apabila pejabat dibuka semula, saya harap barisan Exco dapat kembali berbincang semula perancangan pembangunan Kelantan selepas 100 hari pemerintahannya.
Kerajaan negeri tidak boleh hanya selesa dengan slogan mengekalkan tradisi kepimpinan lama.
Jika buat projek, rancanglah projek pembangunan itu untuk rakyat Kelantan, bukannya hanya untuk ahli parti Pas sahaja.
Jadikan pengalaman projek Ladang Rakyat untuk merakyatkan pembangunan Kelantan, bukannya 'memPaskan' pembangunan Kelantan.
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin.
Profesor Madya Dr Mohammad Agus Yusoff
3 ulasan:
Lain macam je cara komen prof ni.
Banyak tuduhan yang tidak dibuktikan. Memalukan dunia akedemik.
nak jadi kangkung ke?
Salam Kerengga
Kepimpinan U_lama jadi Kepimpinan lama?
Salam
It's a fair comment
Bukan senang nk dpt nasihat dari seorang ilmuan spt ini
Ikhlas Dan sungguh prihatin.
P.s raya kedua dpt jumpa exco Dan bekas mb kelantan yg masih strong ... Dan tetap dgn pendirian A.B.U !
Sudah jelas ...
Catat Ulasan