Mohamad Fadli
Masa yang lama diambil telah menimbulkan berbagai sepkulasi, prasangka, persepsi dan pandangan negatif terhadap integriti, kecekapan, kebijaksaan dan sihat atau tidak sihat badan kehakiman negara
PETALING JAYA: Bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin berkata Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria perlu menjelaskan kelewatan keputusan penghakiman berhubung rayuan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibahim mengetepikan hukuman penjara lima tahun atas sabitan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Zainuddin berkata kelewatan kes liwat Anwar ini telah mengesahkan keraguan orang ramai selama ini terhadap keupayaan sistem kehakiman dan keadilan negara.
Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan itu mendakwa, masa yang lama diambil telah menimbulkan berbagai sepkulasi, prasangka, persepsi dan pandangan negatif terhadap integriti, kecekapan, kebijaksaan dan sihat atau tidak sihat badan kehakiman negara.
“Persepsi atau spekulasi paling terkini dan terburuk ialah mengatakan hakim – hakim sedang menunggu keputusan rundingan yang sedang diadakan. Saya tidak tahu apakah rundingan yang sedang diadakan itu? Siapakah yang terlibat? Ada campurtangan politik ke?,” katanya dalam entri terbarunya di zamkata.blogspot.com.
Tambah Zainuddin, kelewatan penghakiman terhadap Anwar mungkin juga sebahagian daripada budaya kerja dalam pentadbiran kerana negara tidak berada di bawah pimpinan yang dinamik dan berinspirasi sebaliknya sekejap ke depan dan sekejap ke belakang, ‘flip flop’ yang akhirnya menyerap dalam sikap berkerja pegawai pegawai kerajaan dari peringkat tertinggi hingga ke bawah.
Sebelum ini Ketua Hakim Negara memberitahu Bernama bahawa beliau tidak dapat memberikan tarikh tepat kerana panel hakim masih memerlukan masa untuk melengkapkan penghakiman dengan membaca penghujahan.
“Biarlah kami baca terlebih dahulu sebelum menulis penghakiman. Berilah kami ruang menulis penghakiman” kata Tun Arifin.
Jelas Zainuddin, alasan ini adalah merendah kemampuan berfikir orang ramai yang merasakan tidak logik sama sekali para hakim tidak dapat memikirkan bahawa keputusan ini perlu disegerakan kerana ia melibatkan kepentingan awam yang sangat genting, penting dan perlu disegerakan dengan apa cara sekalipun bagi menjamin keselamatan rakyat dan negara.
Beliau berkata, rakyat merasakan mereka telah memberikan masa yang lebih dari cukup terutama apabila mereka menimbangkan hakim-hakim adalah terdiri dari mereka yang arif dan bijaksana dan tentunya hakim-hakim sekarang tidak seperti hakim-hakim dahulu yang pernah ditegur oleh Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad banyak menghabiskan masa dengan minum arak di Selangor Club.
Ujarnya, bagaimanapun dengan alasan yang diberikan oleh Yang Ariff itu maka rakyat membuat kesimpulan bahawa tidak semua yang arif itu semestinya ariff.
“Orang ramai tidak boleh disalahkan jika mereka mulai mempersoalkan kesihatan, kewibawaan, kearifan, kecekapan dan kebebasan bidang kehakiman negara,” katanya.
-fmt-
1 ulasan:
kes ini adalah fitnah konspirasi.
yg mana harus diikut : kebenaran atau kehendak konspirator.
pilihlah syurga atau neraka.
umur hakim2 dh tinggal sikit di dunia ini, lepas ni nk hijrah ke alam akhirat yg Tuhan menjadi Maha Rajanya.
Catat Ulasan