"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jihad seorang gay melawan nafsu

XIFU NASER
“JIHAD yang paling besar bagi saya ialah jihad semasa solat berjemaah.” Inilah kenyataan yang paling mengejutkan saya. Ia datang daripada seorang insan cross over yang berbangsa Cina. Nama samarannya ialah Chee Keong. Dia jumpa saya untuk meminta nasihat khas.

Saya tidak dibenarkan untuk membawa sesiapa pun ketika berjumpa dengannya. Hanya saya dan Chee Keong di restoran mewah yang tertutup.

“Bagi Xifu, merapatkan saf semasa solat jemaah akan menambah khusyuk lagi. Bagi saya, ia mencabar keimanan saya, khasnya apabila bahu saya tersentuh bahu seorang jejaka yang kacak. Nafsu syahwat saya naik membara! Saya tak mampu nak solat Jumaat lagi! Saya amat terseksa,” kata Chee Keong.

“Naik nafsu seks semasa solat berjemaah? Saya tak faham. Kalau lelaki rapatkan saf dengan perempuan, barulah tak khusyuk,” saya keliru.

“Ini kerana Xifu adalah straight. Dari segi perasaan, saya masih gay walaupun saya telah peluk Islam lima tahun yang lalu!” Chee Keong mengaku. Chee Keong tidak lagi terlibat dengan homoseks.

Saya terkejut dengan pengakuan Chee Keong kerana tiada tanda gay langsung pada diri Chee Keong. Dia adalah lelaki yang gagah berani. Tiada sifat sotong! Selama lima tahun saya kenalnya, dia adalah seorang yang tekun belajar agama. Tidak memandang perempuan.

Belum berkahwin walaupun sudah berumur 33 tahun.

Tetapi pengakuannya amat memeranjatkan saya. “Apa yang buat you naik nafsu syahwat semasa solat jemaah?” saya tanya.

“Saya sangat bernafsu pada telapak kaki lelaki muda kacak. Bayangkan apabila mereka ambil wuduk dan bayangkan apabila sujud!” Chee Keong makin nampakkan kesedihannya.

“Xifu, I am proud to be a Muslim. Tapi ujian ALLAH SWT ini terlalu berat bagi saya.” Chee Keong dah hampir tidak dapat menahan air matanya.

“Saya kenal ramai gadis muda, cun dan bijak. Saya boleh rekomen jadi isteri. Kahwinlah cepat! Nikah dalam Islam itu amat mudah sahaja,” saya berusaha memberi semangat kepadanya.

“Xifu, saya dah berusaha bernafsu pada perempuan. Bahkan saya cuba tengok ramai perempuan yang hot dan seksi di shopping kompleks. Saya tak rasa apa-apa pun. Macam tengok kayu! Saya hanya bernafsu pada yang rata dadanya!” sindir Chee Keong. Saya faham
bahawa ‘yang rata dadanya’ di sini merujuk kepada lelaki.

“Bagaimana Chee Keong boleh terjebak sampai ke tahap ini?” saya tanya.

“Saya dinodai oleh pakcik semasa umur enam tahun. Kemudian oleh ketua pengawas sekolah. Tiada halal haram kerana saya bukan Muslim. Memang ada Muslim yang gay juga tetapi mereka pun berperangai seperti bukan Muslim. Saya masih muda. Saya hanya pengikut.
Akhirnya, semua girlfriends saya adalah lelaki kacak sama ada Cina atau Melayu,” kata Chee Keong penuh kesalan.

“Chee Keong, ada sebuah institusi Islam berkata bahawa ia berjaya menyembuhkan gay setelah mereka menjalani kem sembuh gay untuk beberapa hari. Kalau kamu menyertai kem ini, kamu akan jumpa semua peserta seperti kamu. Ini akan bagi motivasi bagi kamu untuk sembuh.” saya cuba bagi jalan.

Chee Keong tergelak besar tiba-tiba. “Xifu, kem ini gagal sebenarnya. Penganjur itu straight. Manalah mereka faham psikologi gay. Bila mereka kumpulkan gay, mereka membuka jalan untuk gay berjumpa dan tukar nombor telefon! Ia akan jadi gay club!”

Tiba-tiba, saya terasa diri saya sangat jahil dalam dakwah, khususnya dalam aspek ini. Betul kata Chee Keong. Saya melihat dari perspektif straight. Chee Keong bukan transgender. Dia lelaki yang inginkan lelaki. Dia tidak bernafsu pada transgender. Dia hendak ‘yang rata dadanya’.

Sebagai seorang tokoh pendakwah, saya gagal. Terlalu banyak perkara yang saya tidak faham. Saya sangat kecewa dengan diri saya. Tetapi saya berusaha menjadi pendengar yang baik.

“Xifu, setiap kali saya dengar hayya alal falaah pada azan, ia memberi motivasi pada saya. Saya tidak akan berkahwin supaya tidak menganiaya perempuan. Setiap hari saya merasai al-falah, kemenangan kerana setiap hari saya berjihad melawan nafsu saya walaupun semasa solat berjemaah!”

* Abdul Naser Abdul Rahman tokoh pendakwah Perak
-sinarharian-

Tiada ulasan: