"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gambar Jamal dengan 3 pemuda baju kuning Bersih 5 cetus tanda tanya

PETALING JAYA: Sekeping gambar menunjukkan pemimpin Gerakan Baju Merah, Datuk Jamal Yunos tersenyum mesra dengan 3 pemuda memakai baju kuning Bersih 5 mencetuskan kebimbangan mengenai penglibatan agent provocateur untuk sengaja mengundang kekacauan pada perhimpunan Sabtu ini.

Akhbar TheSun melaporkan, gambar yang dikongsi meluas di media sosial itu menimbulkan persoalan mengenai niat sebenar Jamal, yang sebelum ini berjanji akan melakukan apa sahaja bagi menghalang perhimpunan anjuran Bersih 2.0 itu.

Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah tidak menolak ia mungkin usaha mencetuskan kekacauan yang kemudiannya akan dituduh sebagai perbuatan penyokong Bersih.

Jamal bagaimanapun menafikan dakwaan itu, dan berkata beliau terserempak dengan 3 pemuda itu di sebuah masjid di Ampang Jaya.

“Saya bertemu mereka pada Ahad ketika solat Zohor. Saya menganggap pemuda itu saudara saya.

“Saya menasihati mereka, dan mereka diselamatkan Tuhan dan bertaubat daripada menyertai Bersih,” Jamal dipetik TheSun sebagai berkata.

Jamal dan penyokongnya sebelum ini beberapa kali bertembung dengan penyokong Bersih dalam usaha menghalang perhimpunan itu.

Ahad lalu, ketua Umno Sungai Besar itu tercedera di bahagian hidung selepas pergelutan dengan beberapa pegawai polis di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur, beberapa minit selepas penyokong beliau mengherdik Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin ketika dalam kempen mempromosi perhimpunan Bersih 5.
-FMT

Tiada ulasan: