"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Ezam nak lawan rasuah bukan di Shah Alam'

Datuk Ezam Mohd Noor dilihat seolah-olah tersalah tempat untuk bertanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dalam usahanya melawan rasuah.

Ahli Parlimen AMANAH Shah Alam Amanah, Khalid Abdul Samad berkata pengerusi Hisbah Malaysia itu tidak sepatutnya bertanding melawan Pakatan Harapan jika dia mahu menentang rasuah.

“Kalau dia nak lawan rasuah, nak lawan bapa kleptokrat mungkin berkesan. Dia tak patut bertemu dengan PKR, BERSATU atau bertemu di suatu tempat di mana tidak ada calon HARAPAN.

“Macam bagi saya di Shah Alam agak peliklah kalau dia kata (lawan rasuah) itu agenda dia. Bila dia buat begitu, akan ada ramai yang pertikai perkara itu, apa pun itu hak dia.

“Dia pun datang solo bukan nama mana-mana parti,” katanya kepada Malaysiakini.

Terdahulu Khalid ditanya mengenai tindakan Ezam (gambar, kiri) yang ingin bertanding di Shah Alam sebagai langkah bermatlamat menciptakan kesedaran melawan rasuah di kalangan orang Melayu dan umat Islam.

Ezam yang pernah dua kali keluar Umno, keluar PKR sekali dan Parti NewGen juga sekali itu akan bertanding sebagai calon bebas. Ezam mengetuai Hisbah Malaysia, sebuah NGO antirasuah.

Khalid turut berkata, jika Ezam benar-benar mahu melawan rasuah seharusnya membantu calon HARAPAN memandangkan dalam manifesto gabungan itu ingin melawan rasuah.

“Walaupun dia kata begitu (Ezam kata nak lawan rasuah), penglibatan dia hanya dilihat sebagai usaha pecahbelahkan undi pihak yang membangkang lawan BN,” katanya.

Khalid bagaimanapun berkata, beliau tetap akan bertanding di Shah Alam meskipun terdapat beberapa penjuru kerana mendapat mandat daripada parti.

Malah Khalid dalam nada berseloroh turut siap menerima jika Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mahu bertanding di kawasannya itu.

Khalid yang juga pengarah komunikasi AMANAH berkata beliau menyerahkan kepada pengundi Shah Alam untuk menilai prestasinya sepanjang dua penggal menjadi anggota parlimen di kawasan itu.

“Saya serah pada warga Shah Alam untuk menilai, sama ada saya telah memainkan peranan saya sebagai ahli parlimen, mewakili AMANAH dengan cara berkesan di dalam parlimen.

“Kalau warga Shah Alam ingat saya tak tunai tanggungjawab, mereka berhak pilih lain, bagi saya saya terus di situ sepertimana diarahkan parti untuk bertahan di Shah Alam.

“Saya tetap di situ walau Ezam, Azmin di situ. Kalau Azmin nak bertanding di situ, maka jadi lima penjurulah. Bagi saya, saya akan bertanding dalam tiket AMANAH dan anggota Majlis HARAPAN,” katanya.
-malaysiakini 

Tiada ulasan: