"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pelajar maut ditimpa kerusi dibuang dari atas PPR (Gambar)


SEORANG pelajar tingkatan tiga maut ditimpa kerusi yang dicampak dari tingkat atas di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, Pantai Dalam malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, pelajar malang itu, S. Sathiwaran, 14, dikatakan sedang berjalan bersama ibunya S. Kasthurivai, 45, di Blok 102 PPR tersebut.

Utusan Malaysia melaporkan dua beranak itu dalam perjalanan pulang dari kedai runcit yang terletak di tingkat bawah, ke rumah mereka di tingkat 16 blok itu.

“Ketika kejadian, mangsa bersama ibunya baru pulang dari kedai runcit, tiba-tiba kerusi tersebut jatuh dari tingkat atas dan mengenai mangsa,” katanya yang enggan dinamakan.

Sinar Harian pula melaporkan, penghuni di situ, Halim Mohd Kassim, 47, berkata mereka terdengar bunyi dentuman kuat ketika kejadian.

"Saya fikir perkara biasa sebab memang selalu orang buang-buang barang dari atas. Tapi tak lama lepas tu saya mula dengar bunyi jeritan dan ramai orang mula berlari mencari.

"Saya lihat mangsa sudah terbaring kaku dengan keadaan kepala sudah pecah," katanya yang berada di ruang parkir blok tersebut ketika kejadian.

Ibu mangsa pula dilaporkan terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid dalam kenyataan kepada media malam tadi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan iaitu membunuh tanpa niat atau akibat kecuaian.
themalaysianinsight

Tiada ulasan: