"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Juadah makan dan integriti yang hilang

AHMAD LUTFI OTHMAN
Timbul isu tajaan makan tengah hari ahli-ahli Parlimen kerajaan, yang agak mewah dan ditaja oleh agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), saya teringat satu majlis yang saya hadiri berkaitan perbincangan awal tentang enakmen kebebasan maklumat di Shah Aalam, mungkin lebih kurang 10 tahun dulu.

Saya hanya nak cerita ringkas tentang hidangan makan tengah hari selepas majlis itu, di bangunan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor. Kami diraikan Speaker Dun, Teng Chang Khim, turut serta Adun Hulu Kelang, Saari Sungib, yang bertindak sebagai pengerusi perbincangan enakmen berkenaan.

Saya hadir sebagai wakil Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI). Mungkin pengalaman saya berbeda dengan orang lain. Saya hanya mencatatkan nota ringkas tentang lintasan ingatan tersebut.

Sememangnya saya tidak mempunyai pengalaman lain berurusan kerajaan negeri (waktu itu gabungan pembangkang adalah Pakatan Rakyat) kerana sudah uzur berpanjangan sejak 2010.
Jadi, saya tidak dapat bandingkan dengan negeri-negeri lain, khususnya Kelantan (di bawah Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat), Kedah (Ustaz Azizan Abd Razak) dan Pulau Pinang (Lim Guan Eng).

Saya rasa ia tidak jauh beda kerana semua kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat mengamalkan belanja berhemat; walaupun Selangor negeri terkaya tetapi di bawah Khalid Ibrahim setiap peruntukan membabitkan wang rakyat akan diperhalusi.

Selesai majlis perkongsian idea, kami dijemput makan tengahari. Saya berada di meja utama bersama Teng. Tidak ramai yang ada sekitar empat hingga lima meja sahaja, rasanya. Juadahnya cukup-cukup sederhana. Lauk-pauknya daripada mangkuk tingkat. Sekadar ikan kecil, sayuran dan buah-buahan. Kalau saya diminta buat anggaran kos, mungkin sekitar RM5 satu kepala.

Saya tidak pasti sama ada ia atas kehendak Teng ataupun memang begitu menu yang digariskan kerajaan negeri. Dari jauh saya dengar-dengar Teng memang “berkira” soal peruntukan tentang makanan untuk program-program kerajaan.

Saya mengenali Teng sejak awal tahun 2000-an. Beliau Adun DAP tunggal waktu itu bersama seorang Adun Keadilan, Azmin Ali dan empat orang Adun Pas – Dr Hasan Ali, Dr Shafie Abu Bakar, Ustaz Ismail Kamus dan Ustaz Solehin Mukhyi.

Saya agak rapat dengan mereka ekoran isu salahguna kuasa dan rasuah menteri besar Selangor yang hangat didedahkan dalam sidang Dun. Beberapa kali saya naik turun ibu pejabat BPR (sekarang SPRM) di Putrajaya dan pejabat negeri di Shah Alam. Saya turut ditahan polis kerana menerbitkan tabloid tidak berpermit bagi membongkar isu itu. Lebih 40,000 naskhah dirampas, belum pun sempat diedarkan.

Menteri PN makan besar pada 27 Julai lalu.

Penjimatan duit rakyat

Nota ringkas ini sekadar tanda ingatan terhadap lintasan apa yang terhidang di atas meja makan tengah hari itu, hampir 10 tahun lalu. Dasar belanja berhemat dan penjimatan duit rakyat, termasuk untuk jamuan ringan program kerajaan amat dihargai.

Senario berbeda dengan cerita Presiden AMANAH, juga lama dulu tentang gelagat seorang “bos” yang belanja makan anak-anak buahnya. Mereka makan di sebuah restoran masakan kampung yang popular di pinggir Alor Setar.

Mat Sabu kebetulan ada di situ terdengar, bila jurukira menilai kos makan di meja “bos” tersebut. Harganya, mungkin sekitar RM100 sahaja, tapi diminta tulis dalam resit dua kali ganda daripada itu. Resit itu boleh dituntut kemudian. Langsung tiada integriti dalam penggunaan wang rakyat atau duit syarikat.

Ini mungkin kisah remeh, sekadar melibatkan kos yang kecil, tetapi ia berimpak gergasi apabila dikaitkan dengan cerita sama berskala besar. Ramai orang berjimat (malah kedekut) bila keluar duit daripada poket sendiri, tetapi berbelanja sewenang-wenangnya jika guna duit pejabat atau peruntukan kerajaan, ‘kan?

Seorang kenalan menghantar satu petikan berita, kenyataan Adly Zahari, bekas Ketua Menteri Melaka, semasa memimpin negeri bersejarah itu.

“Apabila Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negeri, perkara pertama yang dilakukan adalah memastikan semua jabatan dan agensi kerajaan wajib mengamalkan penjimatan.

“Pejabat Ketua Menteri sahaja dapat menjimatkan kira-kira RM400,000 bagi setengah tahun akan datang ini dengan pemotongan kos makanan semasa mesyuarat,” kata Adly. Tambahnya, pemotongan kos tersebut tidak termasuk jabatan atau agensi lain.

Catatan ini yang mulanya disiarkan Facebook saya, menerima respons daripada rakan di utara. Beliau merujuk hantaran aktivis budaya, Ahkarim Abdul Halim dalam akaun FB beliau pada tahun 2015, yang menceritakan arahan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz tentang jamuan semasa mesyuarat kerajaan negeri hanya teh o dan sebiji kuih seorang.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang juga Pengerusi Kumpulan Prasarana melayan Muhyiddin dan Azmin.

Tiada ulasan: