B Nantha Kumar
Ketua Penerangan PKR Perak Muhamad Arafat Varisai Mahamad mendakwa bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali dan penyokong mula berasa panik selepas pengumuman Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa Umno tidak akan menyertai Perikatan Nasional (PN).
Katanya, pengumuman tersebut sekaligus menutup 'pintu depan' peluang untuk Azmin yang berangan-angan mempertahankan semua kerusi yang dimenangi kumpulannya pada PRU14 bersama-sama Umno dan PAS.
"Sejak pengumuman Umno menolak PN secara rasmi, saya mula menerima banyak panggilan daripada bekas rakan juang saya yang kini bersama kem Azmin.
"Ada yang mengakui bahawa kem Azmin sudah pun 'kalah' dalam PRU15 selepas ditolak oleh Umno dan PAS. Manakala, yang lain minta apakah peluang mereka untuk kembali bersama PKR," katanya ketika menghubungi Malaysiakini.
Arafat yang juga Adun Hulu Kinta selanjutnya berkata beliau diberitahu terdapat perbezaan besar antara gabungan PN dengan piagam MN.
'Kem Azmin mula hijrah ke kerusi lain'
"Saya diberitahu oleh rakan-rakan dari kem Azmin bahawa gabungan PN bermaksud Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin akan diberi kuasa untuk mempengerusikan.
"Selain itu, salah satu syaratnya adalah parti komponen PN akan diberi peluang untuk mempertahankan kerusi yang dimiliki pada masa ini. Ini bermakna Bersatu bersama-sama kem Azmin masih boleh bertanding di 32 kerusi parlimen," katanya.
"Tetapi, pada piagam MN, Bersatu tidak ada kuasa penentu. Dan mereka juga kemungkinan besar akan diberi 12 kerusi Dewan Rakyat yang asalnya dimenangi oleh Bersatu pada PRU14 atau akan ada tambahan tiga kerusi baru untuk bertanding pada PRU15.
"Dengan itu peluang kem Azmin pada PRU15 ditutup sepenuhnya," katanya.
Dakwanya, terdapat wakil rakyat dari kem Azmin mula berhijrah ke kawasan lain selepas keluar dari PKR pada Februari.
"Kita boleh lihat, seorang wakil rakyat dari Pulau Pinang kini mula bertapak di parlimen Shah Alam, manakala seorang lagi wakil rakyat dari Johor, sudah pun berkhemah di parlimen Batu," kata Arafat (gambar, bawah) tanpa menamakan wakil rakyat berkenaan.
Presiden Umno sebelum ini berkata berkata parti itu memutuskan untuk tidak menyertai Perikatan Nasional (PN) secara rasmi.
Zahid berkata Umno sebaliknya akan terus memperkasakan Muafakat Nasional (MN) bersama-sama dengan PAS dan parti komponen BN yang lain.
Menurutnya, sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hanya berlandaskan sokongan anggota parlimen Umno dan BN di Dewan Rakyat dan Adun di peringkat negeri.
Zahid juga memberitahu bahawa partinya akan mempertimbangkan hasrat Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang menyatakan sedia menyertai Muafakat Nasional (MN) iaitu sebuah piagam politik antara Umno dan PAS.
Pengumuman Zahid itu sekaligus menutup ramalan sebelum ini bahawa PN yang kini diketuai oleh Muhyiddin akan didaftarkan sebagai gabungan politk yang rasmi sebelum menghadapi PRU15.
Zahid juga memberitahu bahawa partinya akan mempertimbangkan hasrat Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang menyatakan sedia menyertai MN iaitu sebuah piagam politik antara Umno dan PAS.
Bagaimanapun, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Redzuan Md Yusof menyangkal kenyataan Zahid itu bahawa Bersatu ada membuat permohonan untuk menyertai MN.
Setiausaha Bersama Sekretariat Muafakat Nasional Annuar Musa pula menjelaskan MN telah membuat pelawaan rasmi kepada Bersatu untuk menyertai gabungan itu.
Annuar berkata presiden Umno dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang serta perdana menteri selaku presiden Bersatu telah membincangkan perkara itu sejak berbulan lalu.
PN merupakan gabungan yang merangkumi Umno, PAS, Bersatu termasuk kem bekas timbalan presiden PKR Mohamad Azmin Ali serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang ditubuhkan secara tidak rasmi susulan 'Langkah Sheraton' pada Februari yang lalu.
Walaupun beberapa langkah awal termasuk menubuhkan jawatankuasa untuk mengkaji pendaftaran PN sebagai gabungan politik yang rasmi, namun ia tidak tercapai ekoran dakwaan pertindihan pembahagian kerusi pilihan raya khususnya antara Bersatu dan Umno.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan