FMT Reporters
PETALING JAYA: “Mungkin itulah salam terakhir pada keluarga,” itu antara perkongsian di Facebook (FB) Kementerian Kesihatan (KKM) dipercayai luahan kakitangannya mengenai detik akhir sebelum menidurkan pesakit Covid-19.
Menerusi perkongsian itu, antara prosedur akan dilakukan kakitangan sebelum menidurkan pesakit Covid-19, adalah meminta mereka mengucap dua kalimah Syahadah dan bercakap buat kali terakhir melalui panggilan video.
“Prosedur sebelum ditidurkan kami akan minta pesakit mengucap dua kalimah Syahadah dan bercakap buat kali terakhir melalui video ‘call’ sahaja.”
Ia merupakan sebagai persediaan jika detik itu adalah kali terakhir mereka sedar sebelum meninggal dunia akibat Covid-19.
“Mungkin itulah salam terakhir pada keluarga… Dan ini adalah perjalanan terakhir salah seorang pesakit Covid-19 aku.
“Moga ditempatkan bersama para solihin. Pemergian ditemani bukan daripada ahli keluarga sendiri.
“Mati tu pasti… Daripada Dia kita datang dan kepada Dia juga kita kembali,” katanya.
Nukilan ditulis individu bernama Shahrin Sahbudin yang dikongsi di laman FB KKM turut mendapat perhatian warganet dengan setakat ini mendapat 50,000 perkongsian.
Kehilangan nyawa disebabkan Covid-19 tidak lagi boleh dipandang ringan, sehingga kini KKM melaporkan rekod tertinggi 126 orang terkorban akibat pandemik itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan