"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hidu gam, berbogel...

Mohd Amin Jalil

am@hmetro.com.my

Seremban: Tingkah laku tidak sihat, tidak senonoh yang dilakukan segelintir gelandangan di pusat bandar ini memberi sedikit tekanan buat pusat gelandangan, Dapur Kausar dalam usaha membantu dan menyelamatkan mereka itu.

Pengurus pusat itu, Azlin Ali berkata, terdapat kalangan mereka yang berkenaan dikesan menghidu gam dan melakukan perbuatan tidak senonoh seperti berbogel di tempat awam.

"Pihak kita dapat kesan mereka melakukan perbuatan itu di sekitar Dataran Seremban di tengah-tengah pusat bandar ini terutama pada malam hari.

"Pada sebelah siang mereka mengambil makanan di Dapur Kausar yang diberikan secara percuma tetapi pada malam hari terdapat segelintir daripada mereka dikesan melakukan perbuatan hidu gam dan perkara tidak sihat.

"Tindakan mereka itu sememangnya membimbangkan kerana dikhuatiri boleh mengancam keselamatan orang lain dan mendedahkan mereka kepada jangkitan Covid-19 selain memberi imej tidak baik," katanya di sini, hari ini.

Azlin berkata, setakat ini terdapat 100 individu dari sekitar daerah itu termasuk gelandangan dan keluarga asnaf berdaftar dengan pusat berkenaan.

Beliau berkata, mereka yang terbabit dalam kegiatan tidak sihat itu berusia sekitar lingkungan 20-an hinggga 50-an dan terdapat juga yang mencapai tahap ketagihan serius sehingga mereka lupa diri.

Menurutnya, pihaknya sukar mengawal golongan ini kerana mereka tidak mempunyai penempatan sebaliknya menjadikan kompleks beli-belah sebagai 'kediaman'.

"Apa yang boleh kami lakukan hanyalah memantau pergerakan gelandangan ini dalam memastikan mereka selamat dan tidak mengancam keselamatan orang lain," katanya.

Menurut Azlin, pihaknya akan meneruskan pemberian makanan percuma kepada gelandangan dan mereka yang memerlukan bantuan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh bermula esok.

"Pengagihan makanan akan bermula pada 3 petang dan saya menjangkakan lebih ramai akan tampil mendapatkan bantuan berdasarkan pengalaman ketika PKP sebelum ini," katanya yang berterima kasih kepada penyumbang.

Dapur Kausar diuruskan Pertubuhan Prihatin Sejagat Negeri Sembilan (PPSNS) dan mula beroperasi awal tahun lalu dengan matlamat membantu golongan gelandangan dan kurang bernasib baik.

Tiada ulasan: