"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ismail beri penjelasan hantaran 'tutup pintu depan'

Malaysiakini 

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri hari ini menjawab pertanyaan mengenai kenyataan di media sosialnya semalam yang mengundang tanda tanya.

Ia berhubung kenyataannya yang menyebut "Saya dah tutup pintu depan tapi..." yang dikaitkan dengan kekecewaannya setelah banyak kilang dibenarkan beroperasi ketika sekatan pergerakan penuh.

Dalam sidang media hari ini, Ismail mendakwa kenyataan itu tiada sebarang maksud tersembunyi.

"Saya nak pulang sudah habis kerja, sebab itu tutup pintu," katanya.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Mohamed Azmin Ali menggesa orang ramai agar tidak membuat spekulasi mengenai hal itu.

Pada masa ini, terdapat 17 perkhidmatan penting yang dibenarkan beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh yang berkuat kuasa 1 Jun lalu.

Kilang yang menghasilkan barangan penting untuk rantaian bekalan dibenarkan beroperasi dengan tenaga kerja yang dikurangkan, ada yang sehingga pada kadar 10 peratus.

Bagaimanapun ada pihak yang mendakwa lebih banyak kilang wajar dihalang daripada beroperasi memandangkan data menunjukkan sektor perkilangan dan pembuatan menjadi penyumbang terbesar kes Covid-19 setakat ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bagaimana syarikat dalam perkhidmatan tidak penting melepasi proses saringan Miti.

Seorang peniaga di sebuah negeri di pantai timur berkata di media sosial studio fotografinya mendapat kelulusan sistem CIMS 3.0 kendalian Miti untuk beroperasi.

Dia memberitahu pihaknya memutuskan untuk menghantar permohonan selepas didorong rasa ingin tahu setelah mengetahui daripada rakan-rakannya ada perniagaan perkhidmatan tidak penting yang berjaya mendapat kelulusan sistem itu.

"Ini termasuk seorang rakan yang terlibat dalam pembuatan kasut secara kecil-kecilan. Oleh itu, saya memutuskan untuk mencubanya dan melihat apakah saya juga boleh mendapatkan kelulusan.

"Percubaan pertama saya adalah pagi semalam dan saya tidak berjaya. Tetapi ketika saya mencuba lagi malam tadi, permohonan saya diluluskan dan saya menerima surat kelulusan terbaru daripada Miti.

"Oleh itu, saya hanya ingin bertanya kepada pihak berkuasa, bagaimana ini boleh terjadi? Kami berada dalam keadaan total lockdown, dan kami ingin bebas daripada Covid-19," katanya kepada Malaysiakini.

Dalam satu kes lain, Malaysiakini juga diberitahu seorang pemberi maklumat yang sebuah syarikat perabot kulit di Klang, Selangor mendapat surat CIMS 3.0 pada 31 Mei lalu.

Azmin: Bekerja sebagai satu pasukan

Sementara itu, Azmin, dipetik Sinar Harian mengatakan Ismail dan dia serta menteri-menteri lain bekerja sebagai satu pasukan untuk memerangi wabak Covid-19.

"Siapa yang berspekulasi? Jangan membuat spekulasi (di laman media sosial).

“Ismail adalah salah seorang menteri kabinet yang diberi peranan penting dalam mengurus masalah Covid-19.

"Kami mempunyai dua jurucakap, Ismail untuk isu keselamatan dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah untuk isu kesihatan.

"Sebagai anggota kabinet, kami memberi mereka dukungan yang cukup kerana mereka memikul tanggung jawab besar ...," tambahnya.

Dalam pernyataan yang berasingan, Azmin menjelaskan bahawa 15 kementerian bertanggungjawab memeriksa permohonan melalui CIMS 3.0 kendalian Miti.

Tiada ulasan: