"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bila doktor pakar beri nasihat menteri tak nak dengar, tu yang kes sampai lebih 9 ribu

Zuraida: Jangan remehkan usaha sanitasi awam untuk cegah Covid-19

Malaysiakini 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin menggesa semua pihak agar berhenti meremehkan usaha Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dalam melaksanakan sanitasi awam sebagai langkah pencegahan penularan Covid-19.

Bercakap dengan pemberita selepas memantau sanitasi di pasar borong Seri Kembangan di Selangor, Zuraida berkata tujuan sanitasi awam itu - yang bermula sejak tahun lalu - adalah untuk mengurangkan jangkitan awam, terutama di zon merah.

"Kita tidak tahu di mana kuman-kuman Covid-19 berada.

"Jadi saya harap pihak-pihak yang bijak pandai janganlah meremehkan usaha pasukan bomba di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan ini untuk membantu segala yang termampu dengan kapasiti yang ada.

"Semua rakyat Malaysia mesti ada sikap ini. Kalau tak boleh bantu secara besar-besaran, kita bantu secara kecil-kecilan. Tak guna kalau kita komen tanpa ada usaha untuk bantu," katanya.

Zuraida turut menyuarakan penghargaan kepada JBPM atas usaha berterusan itu dan menggesa orang ramai memberi sokongan kepada langkah menghalang Covid-19

Turut hadir adalah Ketua Pengarah JBPM Hamdan Wahid yang turut mempertahankan sanitasi awam yang dilakukan.

Hamdan berkata operasi sanitasi awam di sesuatu kawasan melibatkan tiga faktor - iaitu nyahcemar, nyahjangkitan dan sanitasi awam.

Dia turut mengecam pihak yang dilaporkan mempersoalkan usaha tersebut, dengan berkata ia tidak memiliki hujah dari sudut sains serta satu pembaziran sumber daya.

"Saya marah kerana kita sudah mengeluarkan banyak belanja untuk ini. Kerajaan mengeluarkan belanja dan ia datang daripada pembayar cukai," katanya lagi.

Memaklumkan sebanyak 25,000 sanitasi awam sudah dilakukan sejak Mac lalu, Hamdan berkata langkah itu disyorkan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Semalam, pakar penyakit berjangkit Dr Adeeba Kamarulzaman menggambarkan bahawa operasi sanitasi awam itu - yang diadakan di 284 lokasi di seluruh negara - adalah pembaziran sumber daya yang terhad.

Dia juga berkata sumber yang ada boleh digunakan untuk perkara seperti peralatan perlindungan peribadi (PPE), alat bantuan pernafasan dan makanan untuk para sukarelawan.

Pada April, pakar kesihatan awam Universiti Putra Malaysia Profesor Madya Dr Malina Osman turut dilaporkan berkata sanitasi hanya perlu dilakukan berdasarkan penilaian risiko di suatu kawasan.

Tiada ulasan: