Amirul Aiman Hamsuddin
bhnews@bh.com.my
Sekumpulan lelaki menyerang, menghalang petugas kesihatan membawa keluar pesakit yang cedera di pasar raya. - Foto tular
KUALA SELANGOR: Tindakan tiga lelaki termasuk remaja menyerang pemandu ambulans yang sedang membawa seorang pesakit wanita mengundang padah apabila ditahan polis di sebuah pasar raya, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, berkata ketiga-tiga suspek berusia 17 hingga 35 tahun ditahan pada jam 11 malam di sekitar daerah ini.
Beliau berkata, penahanan dibuat susulan laporan dibuat Penolong Pegawai Perubatan Hospital Tanjong Karang berusia 27 tahun.
"Pada jam 8.40 malam tadi, pengadu menerima panggilan berhubung seorang wanita yang cedera di sebuah pasar raya.
"Pada jam 9 malam, pengadu tiba di lokasi dan ketika dalam perjalanan membawa pesakit ke ambulans, didapati ada pihak yang menyerang pemandu ambulans," katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Ramli berkata, susulan laporan itu polis menahan tiga lelaki yang terbabit dalam kejadian itu.
"Punca kecederaan wanita dan punca kejadian masih dalam siasatan. Permohonan reman terhadap kesemua suspek dibuat pagi ini.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya.
Terdahulu, tular di laman sosial video berdurasi 32 saat memaparkan petugas kesihatan yang dihalang ketika membawa seorang pesakit yang cedera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan