"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kemenangan di Simpang Jeram bukti kerjasama PH-BN diterima

Bernama
Nazri Abdul Rahman memenangi DUN Simpang Jeram dengan majoriti 3,514 undi. (Gambar Bernama)
MUAR: Nazri Abdul Rahman menyifatkan kemenangannya pada PRK DUN Simpang Jeram sebagai hasil kerja keras dan kerjasama kukuh antara gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, keputusan itu sekali gus menghapuskan stigma kerjasama kedua-dua gabungan tidak diterima pengundi kawasan tersebut, khususnya Melayu.

“Kemenangan ini bukan kemenangan saya seorang, ini adalah kemenangan pasukan dan kita sedia maklum dalam pilihan raya kali ini adalah gabungan antara PH dan BN.

“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua jentera di pihak PH dan BN. Tanpa kerjasama dan kerja keras mereka, tak mungkin saya dapat kemenangan sebegini rupa,” katanya kepada pemberita selepas diumum memenangi kerusi itu.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Nazri memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 3,514 undi.

Timbalan ketua Amanah Bakri itu memperoleh 13,844 undi, menewaskan Dr Mohd Mazri Yahya daripada Perikatan Nasional (PN) yang mendapat 10,330 undi manakala calon bebas S Jeganathan, yang juga ahli perniagaan, hanya meraih 311 undi sekali gus hilang wang deposit.

Nazri juga berkata, selepas diberi mandat, beliau akan cuba memenuhi janji dalam pilihan raya dan perkara pertama akan dilakukan ialah berkunjung serta berjumpa pengundi seberapa segera untuk menzahirkan penghargaan kepada mereka.

Beliau juga berazam memberikan khidmat terbaik sepanjang menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Nazri juga menganggap dua pencabarnya pada pilihan raya itu sebagai rakan dan berharap mereka dapat bekerjasama.

Tiada ulasan: