Haspaizi Zain
Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis yang dihadapkan ke Lembaga Disiplin Umno kerana hadir ke program PN bulan lalu, meminta agar parti itu memecat dirinya.
Dalam jawapannya kepada surat tunjuk sebab Lembaga Disiplin kepadanya, Jailani mempertahankan kehadirannya di program tersebut dan berkata ia bukan sabotaj kepada Umno.
"Saya tidak menganggap perbuatan ini merupakan sabotaj bukan saja kepada Umno, tapi mana-mana parti sekalipun kerana saya hadir atas kapasiti pengerusi penaja NGO Muafakat Nasional Melaka.
"Saya tidak terlibat menjadi penceramah mahupun memberikan kenyataan secara umum serta mengaibkan mana-mana individu, termasuk membuat kenyataan yang menjejaskan mana-mana parti politik sekalipun sewaktu kempen di dalam dua insiden (dihadirinya) ini.
"Dengan rasa rendah diri, saya meminta Lembaga Disiplin Umno mengambil keputusan di bawah peruntukan 20.10 (D) iaitu dipecat daripada parti setelah disahkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan bukan mana-mana hukuman lain.
"Saya tidak mahu malukan Umno, saya minta permohonan saya diterima," katanya dalam surat itu yang dilihat Malaysiakini. Surat itu diserahkan kepada Lembaga Disiplin Umno hari ini.
Dia berkata Umno tidak perlu bimbang dengan permintaannya itu memandangkan ia tidak akan menjejaskan kedudukan kerajaan Melaka yang masih memiliki majoriti walau kehilangan satu kerusi.
Lembaga Disiplin Umno menerusi surat bertarikh 28 Ogos lalu, mengarahkan Jailani agar hadir ke prosiding pendengaran hari ini serta menjawab surat tunjuk sebab yang diberikan kepadanya.
Jailani namun tidak hadir atas masalah kesihatan dan kini menjalani rawatan di sebuah hospital di Melaka.
Surat itu juga mendakwa dia telah melakukan sabotaj terhadap Umno kerana dengan sengaja hadir pada majlis pengumuman calon PN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram di Bakri, Johor pada 23 Ogos lalu.
'Tolak kerjasama dengan PH, DAP'
Dalam surat jawapannya, Jailani berkata dia menolak sebarang kerjasama dengan PH, terutamanya DAP, dan tidak akan menerima perkara yang disifatkannya sebagai membawa kepada perpecahan orang Melayu dan Islam.
Dia juga mempersoalkan komitmen yang pernah disuarakan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika perhimpunan agung parti sebelum ini untuk tidak akan bekerjasama dengan Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan DAP.
"Malangnya musuh politik Umno-BN yang dulu saya disuruh tinggalkan, kini menjadi kekasih abadi Umno sekarang ini. Saya rasa dikhianati.
"Jelas kepimpinan Umno telah membelakangkan survival agama, bangsa dan tanah air dan memberi keutamaan kepada so called party survival agar Umno terus berada dalam pemerintahan dan relevan dalam politik negara," katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan