"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kalau tak kerana Umno, PAS tak merasa jadi kerajaan - Khairuddin

Malaysiakini

Bekas pemimpin kanan PAS, Khairuddin Aman Razali, mengingatkan pemimpin parti terbabit bahawa mereka seperti terhutang budi kepada Umno.

Katanya jika tidak kerana kerjasama yang dihulurkan Umno, PAS masih belum merasa menjadi sebahagian daripada kerajaan dan menganggotai kabinet sehinggalah pada 2020 lalu.

Dia yang kini dilantik sebagai Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama Umno berkata, kemenangan besar PAS dalam PRU ke-15 beberapa bulan lalu juga adalah disebabkan kesan berkerajaan bersama parti berkenaan.

Bahkan katanya, jika mengharapkan Bersatu semata-mata tidak mungkin PAS dapat kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan selepas lebih 40 tahun menjadi pembangkang.

"Malah kejayaan PAS kembali menjadi Kerajaan Persekutuan setelah 42 tahun sejak 1978 adalah kerana kerjasama dengan BN dan Umno yang sebelumnya memiliki 78 kerusi parlimen sebelum menyusut kepada 55 kerusi akibat lompat parti dan (sebab) lainnya," kata Khairuddin.

Dia menambah dengan menjadi kerajaan pusat - ekoran Langkah Sheraton - PAS bersama Umno mendapat pelbagai peruntukan kerajaan, selain melegakan pentadbiran PAS di Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Terdahulu media melaporkan pemimpin PAS melahirkan rasa kesal kerana membantu Umno bangkit semula selepas kalah teruk dalam PRU ke-14 pada 2018.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata sepatutnya Umno tidak dibantu dan dibiarkan begitu sahaja apabila ditolak rakyat dan kerajaan BN tumbang.

"Apabila Umno tumbang inilah kesempatan untuk kita nyak (tekan) terus, betul tak? Tak perlu kita bantu, tak perlu kita tolong.

" Tetapi apa yang berlaku PAS duduk berbincang dengan Umno. Mari PRK (pilihan raya kecil) kita bantu, kita tolong dia. Ini pada waktu di mana 10 daripada 14 parti komponen BN meninggalkan BN satu persatu," kata Tuan Ibrahim ketika berucap di Muar malam tadi.

Khairuddin yang juga bekas menteri berkata, nikmat menjadi kerajaan tidak akan dapat dirasai PAS jika mereka "nyak" Umno selepas parti itu dikalahkan pada 2018..

Hal itu kerana, kata Khairuddin, dalam PRU ke-14 PAS hanya memenangi 18 kerusi parlimen saja.

Hasil kerjasama tersebut, tambah bekas ahli parlimen Kuala Nerus itu. PAS memperoleh begitu banyak manfaat dan ia tidak wajar dinafikan oleh PAS.

Pengalaman bersama Umno itu juga, kata Khairuddin, merupakan sejarah manis buat PAS.

"Maka wajarkah ungkapan penyesalan diungkapkan setelah pelbagai manfaat diperolehi hasil kerjasama?" katanya.

Tiada ulasan: