B Nantha Kumar
Sebuah kumpulan WhatsApp yang dinamakan "MB Selangor" memngumpulkan beberapa Adun kerajaan, pembangkang serta pemimpin parti dari Selangor muncul petang semalam.
Ia berisi siri dakwaan terhadap seorang pemimpin PKR yang didakwa rapat dengan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
Dakwaan itu dipercayai dimuat naik oleh pentadbir kumpulan berkenaan – yang hanya dikenali sebagai 'Madani' – sebelum tular. Ia melibatkan pelbagai tuduhan mengenai kekayaan mendadak serta pelantikan ke jawatan berkaitan kerajaan negeri.
Individu yang menjadi sasaran utama kumpulan tersebut berasal dari utara Selangor.
Madani antara lain mempersoalkan bagaimana pemimpin terbabit mampu membeli sebuah banglo bernilai RM3 juta serta menjalani gaya hidup mewah, bercuti di luar negara dan menginap di hotel lima hingga tujuh bintang.
Dia juga melampirkan beberapa keping gambar pemimpin itu semasa bercuti di luar negara bersama keluarga.
Turut dibangkitkan ialah dakwaan pemimpin itu memegang terlalu banyak jawatan dalam agensi berkaitan kerajaan negeri.
"Soalannya, mengapa satu orang dilantik ke banyak jawatan, seolah-olah tidak ada manusia lain yang layak di Selangor," dakwanya.
Dakwaan itu hanya disertakan dengan beberapa tangkapan layaran akaun Whatsapp milik pemimpin itu sebagai bukti.
Pemberita Malaysiakini turut dijadikan ahli dalam kumpulan Whatsapp tersebut.
Mohon pihak berkuasa siasat
Sementara itu pemimpin terbabit ketika dihubungi enggan mengulas kerana mendakwa tidak melihat kandungan dalam kumpulan sembang berkenaan.
"Saya tidak dapat memberi komen.
"Seeloknya, kita beri ruang kepada pentadbiran negeri untuk menerangkan perincian Belanjawan Selangor 2026 kepada rakyat," katanya secara ringkas.
Malaysiakini tidak mendedahkan nama pemimpin itu kerana tidak dapat mengesahkan dakwaan tersebut secara bebas.
Dalam siri mesej sama, pentadbir Madani turut menuduh pemimpin berkenaan terlibat dalam pengagihan projek syarikat KDEB di Hulu Selangor, termasuk mendakwa dia mengambil "15 peratus" daripada kontrak tertentu sebagai dana politik.
Senarai lebih 15 syarikat turut dikongsikan, kononnya menerima projek melalui jaringan pemimpin terbabit.
Pentadbir kumpulan WhatsApp tersebut turut mencabar pemimpin berkenaan untuk membuat laporan polis agar dia boleh mendedahkan buktinya.
"SPRM tolong siasat. Ini duit rakyat. Kami mohon Adun PN buka mulut dalam dewan. Minta penjelasan dari menteri besar," katanya.
Satu mesej panjang ditujukan kepada Amirudin turut dikongsikan dalam kumpulan itu, memohon menteri besar terbabit menjelaskan "secara jujur dan adil" berhubung gaya hidup dan kedudukan pemimpin itu.
Malaysiakini telah menghubungi pejabat menteri besar untuk komen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan