Agensi

Rakaman dron menunjukkan adegan kejar-mengejar seorang lelaki yang dipercayai menikam pengantin lelaki sejauh kira-kira dua kilometer. Foto Tangkap layar Agensi
New Delhi: Panik melanda sebuah majlis perkahwinan apabila seorang lelaki menikam pengantin lelaki sebelum melarikan diri menaiki motosikal.
Bagaimanapun juruvideo majlis perkahwinan sempat merakam kejadian itu malah turut mengejarnya menggunakan dron miliknya.
Memetik NDTV, kejadian berlaku baru-baru ini semasa majlis perkahwinan di Amravati, Maharashtra, India, di mana suspek, Ragho Jitendra Bakshi, menikam pengantin lelaki sebanyak tiga kali di atas pentas sebelum melarikan diri.
Bertindak pantas, juruvideo yang merakam majlis perkahwinan itu mengejar penyerang berkenaan dengan dronnya.
Kejar-mengejar itu berterusan sejauh kira-kira dua kilometer (km) apabila penyerang bersama seorang lelaki lain cuba melarikan diri menggunakan motosikal.
Dalam pada itu, polis kemudian merampas rakaman dron itu dan menggunakannya untuk mengenal pasti identiti suspek.
Rakaman itu juga membantu polis menjejaki laluan yang digunakan suspek untuk melarikan diri selepas kejadian.
Siasatan awal mendedahkan bahawa serangan itu berpunca daripada pergaduhan kecil semasa acara tarian yang kemudiannya mencetuskan kemarahan suspek.
Polis kini memburu suspek, manakala pengantin lelaki yang cedera, Sajal Ram Samudra, 22, sedang menerima rawatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan