"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: PGA tumpaskan perlombongan emas haram, tahan 5 lelaki

Sharifah Mahsinah Abdullah
Foto FB Briged Tenggara PGA
KUALA KRAI: Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan perlombongan emas haram, dalam operasi di Kampung Biak, Dabong di sini, Jumaat lalu.

Dalam serbuan kira-kira jam 3 petang itu, lima lelaki berjaya ditahan, manakala beberapa jentera berat dan peralatan melombong emas dianggarkan bernilai kira-kira RM1.54 juta turut dirampas.

Pemangku Komander Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Ijid Landu Binju, berkata operasi dijalankan pasukan Batalion Kelapan selepas menerima maklumat awam.

“Setiba di lokasi, pasukan mendapati lima lelaki sedang menjalankan aktiviti perlombongan.

“Mereka cuba melarikan diri selepas menyedari kehadiran anggota, namun kesemua lelaki tempatan berusia 24 hingga 37 tahun itu berjaya ditahan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas beberapa jentera berat dan peralatan yang digunakan dalam perlombongan haram itu.

Ia termasuk tiga jengkaut, mesin pam air, mesin palong dan beberapa karpet yang digunakan untuk melombong.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 137(1)(b) Enakmen Mineral 2001, dan sudah diserahkan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Ijid berkata, seramai 26 individu termasuk 11 wanita disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI), ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Kok Pasir, Tumpat, kira-kira jam 6 petang Sabtu lalu.

Sebuah kenderaan dipercayai digunakan untuk mengangkut mereka yang semuanya berasal dari Myanmar, turut dirampas.

Tiada ulasan: