Buletin TV3
SHAH ALAM: Seorang lelaki berusia 57 tahun ditahan selepas bertindak agresif dan mengeluarkan kata-kata ugutan ketika pegawai mahkamah serta anggota polis menjalankan tugas di sebuah premis di Pandamaran, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Ramli Kasa, berkata dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, pengadu yang juga bailif (pegawai yg menyampaikan writ dan saman) Mahkamah Tinggi Shah Alam bersama sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan sedang menyempurnakan serahan writ saman di premis tidak beralamat itu.
“Suspek yang berada di dalam premis berkenaan bertindak memprovokasi pegawai mahkamah dan anggota polis selain memecahkan botol kaca serta melafazkan ugutan terhadap mereka.
“Polis kemudiannya menahan lelaki terbabit di lokasi kejadian bagi membantu siasatan atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas serta melakukan ugutan jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya lagi, siasatan lanjut masih diteruskan dan menasihatkan orang ramai supaya mematuhi arahan penjawat awam ketika urusan rasmi dijalankan dan tindakan boleh diambil mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan