"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengasas eHati, pasangan lari ke luar negara, lokasi dikenal pasti

Ruwaida Md Zain
am@hmetro.com.my

Shah Alam: Polis mengesahkan suami isteri termasuk pengasas program motivasi rumah tangga eHati yang berdepan pendakwaan di mahkamah dipercayai melarikan diri ke luar negara.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, siasatan mendapati kedua-dua suspek dipercayai melarikan diri sehari sebelum pertuduhan dilaksanakan.

"Masih lagi tidak ada tangkapan dibuat kerana Polis Diraja Malaysia (PDRM) percayai mereka sudah melarikan diri ke luar negara sebelum pertuduhan dijalankan.

"Hasil semakan awal PDRM, (suspek ke luar negara) melalui laluan sah kerana mereka bergerak lebih awal sebelum waran dikeluarkan.

"Polis percaya pada 13 Oktober (mereka melarikan diri ke luar negara) yang mana pertuduhan dilaksanakan pada 14 Oktober.

"(Suspek yang melarikan diri) Ya, dua penama yang dikeluarkan waran tangkap itu," berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini.

Mengulas lanjut katanya, pihak polis sudah mengenalpasti ke negara kedua-dua suspek melarikan diri namun tidak mendedahkannya.

"Sekarang, PDRM akan berhubung dengan rakan strategik negara terbabit untuk membantu mengesan penama yang dikeluarkan waran tangkap ke atas mereka.

"Biarlah rahsia (negara mana) ..beri peluang kepada PDRM untuk melaksanakan tugasan dan siasatan, dikhuatiri sekiranya diberitahu maka akan lebih menyukarkan proses pencarian.

"Di kawasan Asia Tenggara," katanya.

Terdahulu, media melaporkan dua termasuk pengasas eHATI kini dikehendaki polis selepas waran tangkap dikeluarkan terhadap mereka selepas kedua-duanya gagal hadir sewaktu pertuduhan hendak dilaksanakan di mahkamah.

Sebelum ini, polis mendedahkan seramai 95 individu telah dipanggil keterangan berhubung penganjuran motivasi rumah tangga di sebuah pusat konvensyen di Seksyen 15 di sini, pada September tahun lalu.

Siasatan polis turut mendapati berlaku adegan bogel dalam acara Queen's Night dalam penganjuran itu melibatkan empat individu yang adalah fasilator bagi program.

Tiada ulasan: