Juwan Riduan
am@hmetro.com.my
OKT yang diburu polis. FOTO Ihsan Polis
Kota Belud: Polis giat memburu seorang tahanan (OKT) maritim lelaki warga Filipina yang melarikan diri ketika dalam pengiringan dari Kudat ke Penjara Kepayan, Kota Kinabalu, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2.15 petang ketika empat OKT warga Filipina sedang diiring menggunakan kenderaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika kenderaan pasukan melalui Jalan Bukit Kelawat, dekat sini, dalam perjalanan membawa semua OKT berkenaan dari Kudat menuju ke Penjara Kepayan, Kota Kinabalu.
"Salah seorang daripada OKT berkenaan yang dituduh mengikut Seksyen 55A Akta Imigresen dipercayai membuka gari berantai sebelum terjun keluar melalui tingkap kenderaan.
"Anggota pengiring cuba mengejar suspek namun gagal. OKT itu kemudian melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran Kampung Bundu, Kota Belud," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, usaha mengesan suspek kini sedang giat dijalankan dengan bantuan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan.
"Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan suspek diminta segera menghubungi Bilik Gerakan IPD Kota Belud di talian 088-973308," katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan