Elill Easwaran
PETALING JAYA: Dua penganalisis melihat kesediaan Hamzah Zainudin menggantikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, sebagai mesej berhemah namun tegas mengenai keperluan perubahan kepimpinan.
Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Mazlan Ali, berkata kenyataan Hamzah yang juga timbalan presiden parti itu boleh dilihat sebagai isyarat halus agar Muhyiddin berundur dan memudahkan proses peralihan kuasa yang lancar.
“Dengan menyatakan kesediaannya mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Muhyiddin, Hamzah sebenarnya memberi peluang kepada bekas perdana menteri itu untuk berundur secara terhormat bagi mengelakkan perpecahan dalam parti selepas beliau (Muhyiddin) meletakkan jawatan,” katanya kepada FMT.
Namun, Mazlan berkata, tindakan Hamzah itu secara tidak langsung menambah tekanan terhadap Muhyiddin, yang sedar beliau perlu berundur sebagai presiden bagi mengelakkan perpecahan dalaman Bersatu serta ketegangan hubungan parti dengan PAS.
Beliau turut meramalkan bahawa Muhyiddin berkemungkinan akan menyerahkan kepimpinan kepada Hamzah sebelum PRU16.
“Peralihan kepimpinan sekarang boleh menjamin kebangkitan semula Bersatu menjelang pilihan raya umum akan datang,” kata Mazlan.
Dalam satu temu bual bersama BFM minggu lalu, Hamzah mendakwa Muhyiddin berhasrat menyerahkan jawatan presiden Bersatu kepadanya apabila beliau memutuskan untuk berundur.
Kenyataan itu muncul di tengah-tengah spekulasi mengenai perpecahan dalaman parti, dengan semakin ramai pemimpin yang mendesak Muhyiddin supaya meletakkan jawatan.
Sementara itu, penganalisis dari Akademi Nusantara, Azmi Hassan, menyifatkan kenyataan Hamzah sebagai taktik untuk menekan Muhyiddin supaya menetapkan garis masa bagi peralihan kepimpinan.
“Ia adalah langkah ‘serangan awal’ untuk memaksa Muhyiddin menyerahkan kuasa kepadanya kerana terdapat khabar angin bahawa Muhyiddin lebih cenderung memilih Setiausaha Agung Azmin Ali, sebagai pengganti.
“Ia juga strategi bijak untuk menyingkirkan Azmin daripada persaingan,” katanya.
Azmi berkata, kenyataan Hamzah itu juga bertujuan menenangkan akar umbi parti yang tidak puas hati dengan meminta mereka bersabar.
Begitu juga dengan Mazlan, Azmi juga percaya bahawa Muhyiddin akan menyerahkan kepimpinan kepada Hamzah sebelum pilihan raya umum akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan