Amin Ishak
BN yang merekodkan prestasi buruk pada PRN turut menjadi sebahagian kerajaan Sabah diketuai GRS.
Pembentukan kerajaan pasca PRN Sabah ke-17 minggu lalu mencetuskan perdebatan apabila tiada satu parti memperoleh majoriti mudah 37 kerusi, sekali gus menyebabkan DUN tergantung.
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjadi pakatan paling hampir mencapai angka itu dengan menguasai 29 kerusi, diikuti Warisan (25). Barisan Nasional (BN) yang pada awalnya mencanangkan sebagai pencabar utama hanya memperoleh enam DUN.
Lima calon menang atas tiket bebas, manakala Upko mempunyai tiga wakil rakyat. Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) memenangi dua kerusi, sementara Pakatan Harapan (PH) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing memperoleh satu kerusi.
Sebaik keputusan diumumkan, rundingan antara parti bermula dan hasilnya, Pengerusi GRS Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah, kira-kira 3 pagi, 30 Nov.
Difahamkan ketika itu beliau disokong GRS, Upko, calon bebas dan PH – keseluruhan 38 kerusi – mencukupi untuk Hajiji meneruskan khidmat bagi penggal kedua.
Namun, ada sumber mendakwa surat sokongan BN kepada pentadbiran Hajiji dihantar kepada Yang Dipertua Negeri Musa Aman sebelum majlis angkat sumpah.
BN hanya mengumumkan sokongan itu kepada umum melalui Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki, beberapa jam selepas Hajiji mengangkat sumpah, kemudian disahkan Setiausaha Agung BN Zambry Kadir.
Ada juga spekulasi mengenai perbincangan antara BN dan Warisan untuk membentuk kerajaan, namun tiada perkembangan. Presiden Warisan Shafie Apdal turut menafikan wujudnya rundingan.
KDM turut menyatakan sokongan kepada kerajaan GRS Plus, yang menyaksikan Adun Bingkor Ishak Ayub (STAR) dilantik pembantu menteri. Namun, Presidennya Jeffrey Kitingan mengambil pendirian kekal sebagai pembangkang.
Selasa lalu, enam individu mengangkat sumpah sebagai Adun dilantik, seperti dibenarkan bawah peruntukan Perkara 14(C) Perlembagaan Sabah.
Jika dicampurkan semuanya, pentadbiran Hajiji kini menikmati sokongan 52 wakil rakyat termasuk Adun dilantik.
Kronologi pembentukan kerajaan Sabah ini ditegaskan semula bagi memberi kefahaman dan mengelakkan kekeliruan, memandangkan Jemaah Menteri sudah memulakan tugas bagi memenuhi aspirasi rakyat.
Masih ada cakap-cakap mengenai ‘siapa perlu siapa’ untuk membentuk kerajaan. Terbaru, Pengerusi BN Zahid Hamidi dipetik berkata partinya menyertai kerajaan Sabah kerana ‘realiti politik’ meskipun kedua-duanya bersaing sengit dalam PRN.
Presiden Umno itu turut berkata: “Pelantikan Kabinet (Sabah) adalah hak ketua menteri (Hajiji) sepenuhnya dengan persetujuan Yang Dipertua Negeri (Musa Aman). Kita tahu GRS sendiri tidak cukup untuk membentuk kerajaan negeri. Ketika ini mereka hanya ada 29 kerusi, dan BN mempunyai enam kerusi.”
Kenyataan itu dilihat berisiko menimbulkan polemik seolah-olah menggambarkan enam kerusi BN diperlukan untuk membentuk kerajaan Sabah, walaupun hakikatnya Hajiji sudah memperoleh sokongan mencukupi lebih awal melalui GRS, PH, Upko dan calon bebas – malah diperkuat dengan enam Adun lantikan.
Ketua BN Sabah, Bung Moktar Radin, yang meninggal dunia semalam, tampak lebih memahami realiti di sebalik pendirian semasa kempen PRN berdepan GRS. Beliau dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata keputusan menyertai kerajaan Hajiji dibuat bagi meletakkan kepentingan rakyat di hadapan dan memastikan kestabilan negeri.
BN menyertai kerajaan perpaduan Sabah meskipun ada tekanan parti itu berada di blok pembangkang bersama Warisan – pandangan disuarakan Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh.
Hujahnya, keputusan itu konon akan membantu BN dan Umno ‘bangkit semula’. Namun, keputusan PRN yang menunjukkan kekuatan sentimen ‘Sabah For Sabahan’ memberi gambaran hala tuju sukar menanti parti itu, termasuk usaha mempertahankan enam kerusi Parlimen pada PRU16.
Silap langkah kerusi Kinabatangan, Libaran, Kalabakan, Kimanis, Beaufort dan Pensiangan boleh hanyut dibadai ombak sentimen rakyat yang kini lebih cenderung kepada parti tempatan.
Pelantikan wakil BN Jafry Arifin sebagai menteri Kabinet dan penyertaan BN dalam kerajaan perpaduan mungkin memberi nafas baharu kepada parti itu, walaupun ada tentangan awal dalam kalangan akar umbi GRS.
Jika prestasi parti itu baik apabila berada dalam kerajaan perpaduan, mungkin rakyat boleh memberi peluang pada pilihan raya akan datang.
Justeru, boleh disimpulkan ketika ini mungkin BN sebenarnya lebih memerlukan GRS – bukan sebaliknya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan