"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Guru mengaku tak salah cuba bunuh isteri

FMT Reporters

Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Hanis Sofea Hamdanmenggunakan sebilah pisau pada 27 Ogos lalu.
 
Seorang guru, Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi, 30, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Balik Pulau atas pertuduhan cuba membunuh isterinya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Seorang guru dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Balik Pulau hari ini atas pertuduhan cuba membunuh isterinya, dalam kejadian pada 27 Ogos lalu.

Tertuduh, Muhammad Nazmi Izzuddin Muhamad Zubairi, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin, lapor Sinar Harian.

Hakim sebelum itu memaklumkan tertuduh layak dibicara selepas mahkamah menerima laporan lengkap psikiatri daripada Hospital Bahagia Ulu Kinta yang merawatnya.

Menurutnya, laporan itu menyatakan dia sesuai untuk menghadapi prosiding.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa cuba membunuh isterinya, Hanis Sofea Hamdan, 28, menggunakan sebilah pisau dalam kejadian di sebuah rumah di Lintang Bayan 1, Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas, kira-kira 5.45 pagi pada 27 Ogos lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau sebatan jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Asma’ ‘Amira Shahidani yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin selain mengambil kira keselamatan mangsa yang juga isteri tertuduh.

Peguam tertuduh, Muhaimin Hashim, Yazid Khairul Azman dan Ismat Arif Abu Hassan bagaimanapun memohon budi bicara mahkamah untuk membenarkan jaminan dengan alasan anak guam mereka masih berkhidmat sebagai guru dan ditahan hampir tiga bulan sekali gus berisiko hilang pekerjaan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM15,000 dengan syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis sehingga kes selesai, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes dan serahan dokumen ditetapkan pada 6 Januari depan.

Tiada ulasan: