"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki ditahan berkaitan penemuan objek menyerupai bom

LUQMAN RIDHWAN MOHAMED NOR
Objek menyerupai bom yang ditemui di kedai barangan runcit 24 jam di Manjung Point, Seri Manjung semalam. - Foto IHSAN PDRM
LUMUT – Seorang lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes penemuan objek menyerupai bom di sebuah kedai barangan runcit 24 jam di Manjung Point, Seri Manjung, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd. Rahman berkata, pihaknya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung menerima panggilan dari orang awam kira-kira pukul 10.30 malam yang memberitahu telah ternampak satu objek menyerupai bom di lokasi terbabit.

“Kejadian disedari oleh pekerja premis yang melihat satu objek menyerupai bom buatan sendiri di atas rak makanan premis tersebut.

“Bertindak atas maklumat, pihak polis bersama pasukan Unit Pemusnah Bom IPD Manjung telah hadir ke lokasi kejadian dan mengesahkan objek tersebut tidak berfungsi kerana tiada bahan letupan serta litar yang tidak lengkap,” katanya di sini hari ini.

Hasbullah berkata, pihak polis turut menahan seorang lelaki di hadapan premis itu kerana disyaki terlibat dalam kes berkenaan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak menyalah guna teknologi untuk membuat sebarang bentuk ancaman yang boleh mendatangkan kegusaran awam atau mengganggu gugat ketenteraman awam.

“Pihak polis memandang serius serta akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap sebarang bentuk ancaman keselamatan terutamanya melibatkan keselamatan orang awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan: