"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Penunggang motosikal didakwa baling batu ke arah cermin kereta

Buletin TV3 
Tangkap layar video tular
ISKANDAR PUTERI: Seorang penunggang motosikal dipercayai warga Singapura didakwa membaling batu ke arah sebuah kereta sehingga memecahkan cermin belakangnya di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura, di sini semalam.

Klip video kejadian berdurasi 24 saat itu tular, setelah dimuat naik menerusi laman sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan yang mengesahkan kejadian itu berkata, pemilik kereta berusia 30 tahun telah membuat laporan polis semalam.

Kejadian didakwa berlaku pada jam 8.20 pagi di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia–Singapura, berhampiran plaza tol Perling menghala ke Taman Bukit Indah, Johor Bahru.

Kumarasan berkata, pemandu kereta mendakwa dia membunyikan hon selepas penunggang motosikal itu, menukar lorong secara tiba-tiba.

Penunggang itu kemudian mengejar kereta berkenaan, sebelum didakwa membaling batu ke arah cermin belakang kereta sehingga pecah.

“Walaupun tiada kecederaan dilaporkan, tindakan penunggang motosikal berkenaan membahayakan keselamatan awam dan menyebabkan kerosakan harta benda,” kata Kumarasan dalam satu kenyataan.

Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat, yang membawa hukuman penjara satu hingga lima tahun, atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ia turut disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya, yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.

Beliau turut menggesa saksi mempunyai maklumat supaya menghubungi pusat kawalan polis daerah di 07-5113622 atau talian hotline 24 jam di 07-5114486.

Tiada ulasan: