B Nantha Kumar
Seorang ejen dari Bangladesh mengakui kewujudan sindiket pemerdagangan manusia melibatkan jutaan ringgit hasil penghantaran pekerja Bangladesh ke Malaysia. Pengakuan itu dibuat di hadapan Mahkamah Metropolitan Dhaka.
SM Rafiq, 66, pengarah urusan M/S United Export Ltd, membuat pengakuan tersebut pada 1 Disember secara sukarela di hadapan majistret Md Jamsed Alam.
Menurutnya syarikatnya telah lama beroperasi sejak 1994 dan pernah diiktiraf sebagai CIP (Commercially Important Person) oleh kerajaan Bangladesh atas sumbangan cukai yang besar.
"Namun, sejak beberapa tahun kebelakangan, saya terpaksa membayar pemerasan demi terus menghantar pekerja ke Malaysia, akibat tekanan dan campur tangan sindiket yang berkaitan dengan ahli politik dan pegawai kerajaan.
"Setiap pekerja yang dihantar ke Malaysia dikenakan bayaran paksaan antara BDT150,000 (RM5,000) hingga BDT200,000 (RM6,700).
"Wang ini hanya bayaran sindiket sahaja tidak termasuk kos sah kerajaan BDT78,990 (RM2,670), yang merangkumi pasport, ujian Covid-19, pemeriksaan perubatan, bayaran kepada ejen (untuk dia) dan uniform.
"Wang pemerasan itu perlu dibayar kepada sebuah lagi syarikat agensi yang berada di Dhaka," katanya dalam surat akuan itu.
Dia juga mengakui bahawa dari tahun 2022 hingga 2024 agensinya telah mengutip lebihan RM14 juta daripada 2,822 pekerja Bangladesh sebagai bayaran untuk dihantar ke Malaysia.
Malaysiakini turut meneliti surat akuan berkenaan.
Ketika dihubungi jurucakap polis Bangladesh mengesahkan surat akuan tersebut.
"Surat akuan itu tulen," katanya ringkas kepada Malaysiakini.
Pernah diugut bunuh, culik
Mengulas lanjut, Rafiq berkata dia pernah menghadapi masalah apabila enggan membayar bayaran tambahan tersebut.
"Saya pernah diugut bunuh, diculik jika enggan bayar. Malah, mereka (sindiket) hentikan proses penghantaran pekerja yang didaftarkan oleh agensi saya. Maka, saya tiada pilihan," katanya.
Rafiq merupakan seorang daripada 103 suspek yang kini disiasat polis Bangladesh berhubung sindiket pemerdagangan manusia.
Dalam pengakuan itu, dia turut menamakan seorang warga Malaysia dan sebuah syarikat tempatan sebagai dalang utama sindiket di Malaysia. Malaysiakini tidak mendedahkan identiti mereka sementara menunggu maklum balas.
Rafiq berkata dia pernah memfailkan writ petisyen di Mahkamah Tinggi Bangladesh pada 2016 untuk membantah tindakan haram kerajaan, namun terpaksa menariknya kembali akibat ancaman bunuh dan risiko penculikan.
"Pada tahun 2022 saya membuat aduan rasmi kepada Perdana Menteri Bangladesh, tiada tindakan diambil.
"Pada tahun 2022 kedua-dua kerajaan mengambil keputusan untuk memberi kebenaran kepada 100 agensi pekerja asing, sindiket tetap mengenakan caj pemerasan BDT150,000 bagi setiap pekerja, walaupun pekerja telah menjalani pemeriksaan perubatan dan siap untuk visa.
"Akibat tekanan itu, saya terpaksa membuat laporan di Balai Polis Tejgaon Industrial Area untuk melaporkan pemerasan yang berleluasa," katanya.
Tiada tindakan diambil
Rafiq menegaskan pemerasan itu bukan sahaja berlaku pada agensinya, malah melibatkan banyak agensi lain di Bangladesh.
Dia juga memfailkan satu lagi writ petisyen pada 2024 yang mengarahkan Suruhanjaya Anti-Rasuah (ACC) menyiasat sindiket tersebut.
Susulan itu, ACC menghantar surat kepada beberapa kementerian, termasuk Kementerian Kebajikan Ekspatriat dan Kementerian Perdagangan, untuk tindakan lanjut.
"Malangnya, kementerian berkaitan tidak mengambil tindakan tegas, sebaliknya lesen agensi digantung secara sewenang-wenangnya.
"Mahkamah kemudian mengarahkan penggantungan dihentikan sementara tiga bulan, tetapi kementerian tetap gagal mematuhi arahan, menyebabkan perintah menghina mahkamah dikeluarkan.
"Sindiket ini terus menjalankan operasi tanpa halangan, membina rangkaian antarabangsa untuk mencuci wang haram dari Bangladesh ke Malaysia," katanya.
Menurutnya, walaupun undang-undang kedua-dua negara membenarkan semua agensi berlesen menghantar pekerja, sindiket tetap mengawal sistem seolah-olah undang-undang tidak berkuatkuasa.
Penghantaran pekerja Bangladesh ke Malaysia disambung semula pada Ogos 2022 selepas hampir enam tahun dihentikan. Namun pada Mei lalu - selepas lebih 476,000 pekerja dihantar - program itu dihentikan, menyebabkan 17,000 pekerja berlesen tidak dapat berlepas.
Kerajaan ketika itu hanya memberi kebenaran kepada 25 agensi Bangladesh sebelum ditambah menjadikan 103 agensi untuk menghantar pekerja yang kemudian dikenali sebagai "sindiket" dan dikatakan mempunyai kaitan dengan empat bekas menteri serta ahli parlimen Bangladesh.
Bagi setiap visa, kira-kira BDT142,000 dikutip oleh ejen di Bangladesh, dan BDT150,000 lagi oleh sindiket di Malaysia.
Pada Julai lalu, Malaysiakini melaporkan Dhaka bersetuju menghentikan siasatannya terhadap dakwaan sindiket mengeksploitasi rakyat Bangladesh yang ingin bekerja di Malaysia, atas arahan kerajaan Malaysia.
Menurut seorang pegawai tempatan yang enggan dikenali, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat di Kuala Lumpur antara wakil kerajaan Bangladesh dan Kementerian Sumber Manusia Malaysia (Kesuma) pada 17 Julai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan