"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Parti tempatan masih berkuasa di Sabah

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Parti tempatan masih menguasai pentadbiran negeri menerusi komposisi ahli Kabinet dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjadi tunggak utama dengan lapan wakil termasuk Ketua Menteri Hajiji Noor, kata penganalisis.

Syahruddin Awang Ahmad berkata penguasaan itu memperkukuh naratif keputusan utama kerajaan negeri didorong agenda tempatan bukan parti luar atau pemimpin dari Semenanjung seperti dibangkitkan susulan pelantikan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

Sehubungan itu, penyelidik dari Borneo Geopolitics & Electoral Studies (GeoPES) terbabit berpendapat tidak wajar lagi menimbulkan naratif seperti itu sebaliknya memfokuskan kepada kestabilan serta kemajuan Sabah.

“Walaupun BN dan PH (parti berpangkalan Semenanjung) dijemput menyertai Kabinet, kehadiran mereka secara bilangan adalah minoriti iaitu 2 daripada 10 jawatan menteri, meletakkan kuasa penentuan dasar dalam tangan GRS dan sekutunya.

“Keadaan ini secara langsung menjawab keresahan rakyat tentang autonomi dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan penekanan kini beralih kepada prestasi perkhidmatan dan tadbir urus kerajaan GRS yang stabil,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, menteri Kabinet Sabah diumumkan dengan agihan lapan dari GRS dan masing-masing satu dari Upko, BN dan PH.

Hajiji, pengerusi GRS menjadi ketua menteri Sabah untuk penggal kedua manakala Pemangku presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Dr Joachim Gunsalam, Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun dan Presiden Upko Ewon Benedick dilantik timbalan ketua menteri.

Joachim memegang portfolio kerja raya dan utiliti, Masidi (Kewangan), Ewon (Perindustrian, keusahawanan dan pengangkutan).

Kerajaan tempatan dan perumahan (Arifin Arif-GRS), pertanian, perikanan dan industri makanan (Jamawi Jaafar-PH), pembangunan luar bandar (Rubin Balang-GRS), pendidikan, sains, teknologi dan inovasi (James Ratib-GRS).

Pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar (Jafry Ariffin-BN), wanita, kesihatan dan kesejahteraan rakyat (Julita Majungki-GRS) dan pembangunan belia, kemajuan sukan dan ekonomi kreatif (Nizam Abu Bakar Titingan-GRS).

Bagi mengelakkan situasi seperti Langkah Kinabalu, Syahruddin mencadangkan kerajaan GRS-Plus pimpinan Hajiji itu perlu memeterai perjanjian kerjasama rasmi yang mengikat secara politik dan perundangan semua parti.

Beliau berkata semua Adun parti gabungan perlu sokong ketua menteri dalam undi percaya atau rang undang-undang selain memperkukuh agenda kepentingan negeri dan MA63 yang dijadikan asas kestabilan, bukan hanya perkongsian kuasa.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berpendapat langkah untuk menerima enam Adun BN menjadi sebahagian kerajaan kerana mereka terikat dengan keputusan parti yang telah menyatakan sokongan kepada kerajaan Hajiji.

“Tapi lima wakil rakyat bebas belum tahu 100% sokong kerana keputusan dibuat tidak terikat dengan agenda parti yang memberi kesan dari segi kestabilan.

“Sabah memerlukan kestabilan sekarang dan ini dibawa BN walaupun ada mengatakan parti itu sepatutnya berada di luar kerajaan negeri,” katanya.

Tiada ulasan: