"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

105 warga asing ditahan di Sekinchan, Sabak Bernam

Buletin TV3 

SHAH ALAM: Seramai 105 warga asing ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Sekinchan dan Sabak Bernam, awal pagi hari ini.

Operasi dijalankan Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran) ATIPSOM bersama agensi berkaitan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, operasi pertama sekitar jam 2.40 pagi dilakukan di sebuah kediaman di Jalan JPT, Sekinchan dan berjaya menahan tiga lelaki berusia lingkungan 26 hingga 32 tahun serta seorang wanita, 24, disyaki penjaga premis.

“Turut ditahan, 14 lelaki berusia 21 hingga 49 tahun dan 22 wanita berusia 24 hingga 56 tahun kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A ATIPSOM 2007 serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Dalam operasi kedua sekitar jam 2.15 pagi di kawasan jeti Sekinchan, Shazeli memaklumkan pihaknya memeriksa sebuah van dan membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 19 tahun yang bertindak sebagai pemandu dan tekong darat.

“Bersamanya terdapat lima lelaki berusia 19 hingga 41 tahun dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Kes juga disiasat mengikut Seksyen 26A ATIPSOM 2007 serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Untuk operasi ketiga di perairan Sabak Bernam, Shazeli berkata, pihaknya memintas sebuah bot kayu jenis pom-pom tanpa nombor pendaftaran pada jam 2.15 pagi.

Katanya, pemeriksaan mendapati seorang lelaki berusia 43 tahun bertindak sebagai tekong bersama dua lelaki lain berusia 35 dan 46 tahun sebagai pembantu.

“Turut ditahan 48 lelaki berusia antara 16 hingga 56 tahun dan lapan wanita berusia 21 hingga 50 tahun. Mereka tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A ATIPSOM 2007 serta Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Tiada ulasan: