Nor Fazlina Abdul Rahim
JELI: Seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dan kekasihnya yang juga pelajar ditahan selepas berlaku pergelutan, selain memandu secara berbahaya dengan menghimpit kenderaan polis di Kampung Rabbana, di sini, petang tadi.
Kedua-dua mereka lelaki berusia 20-an dan kekasihnya remaja perempuan berusia 17 tahun yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan jam 3.30 petang.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, terdahulu anggota unit peronda polis (MPV) yang sedang membuat rondaan mengesan kereta Perodua Myvi dinaiki dua individu itu dalam keadaan mencurigakan di Kampung Sungai Rual.
“Ketika pemeriksaan hendak dijalankan, kenderaan dipandu lelaki itu enggan memberi kerjasama dan terus memecut laju.
“Polis mengejar kenderaan terbabit dan pemandu Perodua Myvi itu turut menghimpit kenderaan polis selain memandu dalam keadaan melulu sebelum kenderaan itu berjaya disekat di Kampung Rabbana.
“Pemandu cuba melarikan diri dan berlaku pergelutan dengan anggota polis sebelum ditahan. Pemeriksaan dalam kenderaan itu terdapat seorang perempuan dan semakan mendapati pemandu adalah pelajar sebuah IPT di Jeli, manakala perempuan itu pula masih bersekolah,” katanya menerusi kenyataan media di sini, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua mereka dipercayai terkejut dengan kehadiran polis dan pemeriksaan lanjut turut mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lalu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam melaksanakan tugas dan memandu secara berbahaya,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan