Elill Easwaran
Penganalisis berkata, kedudukan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek paling berisiko ketika gesaan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memperkukuh pasukannya dengan teknokrat semakin meningkat.

Fadhlina Sidek berdepan banyak gesaan berundur berikutan beberapa insiden sekolah yang membimbangkan dan mungkin digantikan sebagai menteri pendidikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim, menurut seorang penganalisis.
PETALING JAYA: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dilihat paling berisiko digantikan ketika Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersedia mengumumkan barisan Jemaah Menteri baharu, menurut penganalisis politik Akademi Nusantara Azmi Hassan.
Azmi berkata, menteri daripada Pakatan Harapan (PH) merupakan kumpulan paling berisiko kerana Anwar mempunyai lebih banyak kuasa budi bicara dalam pelantikan mereka.
Namun katanya, menggugurkan menteri daripada parti lain adalah sukar kerana parti-parti tersebut mahu ‘mengekalkan kuota’ masing-masing.
“Jadi saya rasa yang paling berisiko ialah Fadhlina,” katanya kepada FMT.
“Mungkin beliau akan ditukar ke kementerian lain. Saya rasa itu mungkin perkara terbaik untuk Anwar.”
Fadhlina, ketua Wanita PKR, telah berdepan banyak desakan supaya meletakkan jawatan berikutan beberapa insiden membimbangkan di sekolah yang melibatkan kes bunuh, rogol dan buli.
Beliau mengakui kelemahan dirinya dan akan mengambil kritikan itu sebagai motivasi untuk memperbaiki prestasinya.
Sementara itu, Azmi mencadangkan beberapa menteri mungkin berprestasi lebih baik dalam portfolio berbeza, dengan berkata Zambry Abdul Kadir lebih sesuai di Kementerian Luar Negeri manakala Mohamad Hasan pula boleh dipindahkan ke portfolio lain.
Azmi juga mencadangkan Anwar mempertimbangkan untuk membawa masuk profesional bukan partisan bagi mengukuhkan pasukan ekonomi kerajaan, dengan menekankan keperluan individu yang mempunyai kelayakan ekonomi kukuh.
“Lebih ramai teknokrat perlu dibawa masuk bagi meningkatkan keyakinan rakyat,” katanya.
“Saya rasa perkara paling penting ialah ekonomi dan Amir Hamzah (Azizan) sedang mengetuai hal itu.
“Lebih ramai profesional yang tidak terikat dengan mana-mana parti politik atau agenda parti perlu dilantik sebagai senator agar mereka boleh dinaikkan menjadi menteri,” katanya.
James Chin dari Universiti Tasmania menjangka rombakan itu lebih kepada pelarasan sederhana dan bukannya pertukaran besar-besaran.
“(Ia) bukan benar-benar rombakan; ia tentang membawa orang baharu untuk mengisi kekosongan. Jika Anwar menggugurkan sesiapa, saya rasa ia akan melibatkan timbalan menteri kerana ada yang bertindih,” katanya.
Beliau berkata kenaikan pangkat tidak akan berdasarkan prestasi semata-mata kerana tiada menteri yang melakukan kerja ‘sangat baik’.
Chin berkata Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook adalah satu-satunya tokoh kanan yang secara relatifnya bebas daripada kontroversi manakala Fadhlina telah lama dianggap kurang berprestasi.
“Tetapi pendidikan di Malaysia sangat dipolitikkan. Sukar untuk sesiapa membuat perubahan besar, terutama dengan kebangkitan politik Islam, jadi ia adalah portfolio yang bermasalah.”
Chin turut menyifatkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai portfolio ‘sukar’ disebabkan pelbagai dakwaan rasuah melibatkan polis, imigresen dan agensi penguatkuasaan lain.
“Tetapi anda tidak boleh menggantikan menterinya kerana ia kementerian strategik yang perlu kekal di tangan PKR dan ia mesti diketuai seseorang yang paling dipercayai Anwar — Saifuddin Nasution Ismail,” katanya.
Pejabat Perdana Menteri pada Rabu mengumumkan bahawa rombakan Jemaah Menteri, yang kedua sejak Anwar memegang jawatan pada November 2022, akan diadakan tidak lama lagi.
Barisan Jemaah Menteri kini mempunyai empat jawatan kosong: ekonomi; sumber asli dan kelestarian alam sekitar; pembangunan usahawan dan koperasi; serta pelaburan, perdagangan dan industri.
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan telah mengambil alih portfolio ekonomi buat sementara, manakala Menteri Perladangan dan Komoditi Johari Ghani mengendalikan portfolio sumber asli dan kelestarian alam.
Dua kekosongan itu berlaku selepas Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad dari PKR meletakkan jawatan pertengahan tahun ini.
Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi pula mengetuai portfolio pembangunan usahawan dan koperasi buat sementara, selepas kekosongan susulan peletakan jawatan Ewon Benedick bulan lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan