"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Isu Manohara: Tengku saman Manohara RM105 juta

Tengku Temenggong Kelantan hari ini mengemukakan saman fitnah RM105 juta terhadap isterinya Mahohara Odelia Pinot dan ibu mertuanya kerana didakwa memfitnahnya bulan lepas.

Menurut
Bernama, saman itu difailkan di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur melalui peguamnya Mohd Haaziq Pillay, pagi tadi.

Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra, sebagai plantif, turut menamakan ibu mertuanya Daisy Fajarina sebagai defendan pertama dan isterinya sebagai defendan kedua.

Saman itu difailkan setelah penolong kanan pendaftar Safarudin Tambi hari ini membenarkan permohonan plaintif untuk memulakan prosiding saman fitnah itu erhadap pihak defendan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Tengku Fakhry mendakwa defendan secara palsu dan niat jahat melafazkan perkataan yang bersifat umpatan dan fitnah mengenai penderaan seksual terhadap Manohara, semasa sidang akhbar antara April sehingga Jun lalu.

Plaintif mendakwa pernyataan fitnah itu telah diterbitkan semula dalam media elektronik seperti
The Jakarta Globe, Banjarmasin Post,Detiknews, Kompas.com, Global TV dan Malaysiakini, serta dilaporkan secara meluas dalam akhbar di Malaysia dan Indonesia.

Perkataan itu dirancang untuk memperkecil-kecilkan dan mengaibkannya di kalangan ahli kerabat di raja Kelantan, kerajaan Malaysia dan rakyat jelata, dakwa Tengku Fakhry.

Putera ketiga Sultan Kelantan itu seterusnya mendakwa bahawa dakwaan dan sindiran itu tidak benar, tidak berasas dan menyebabkannya mengalami kerosakan serius kepada reputasi peribadi secara nasional dan antarabangsa.

"Defendan-defendan melafazkan perkataan-perkataan tersebut dengan didorong oleh keuntungan kewangan," dakwa Tengku Fakhry.

Plaintif menuntut ganti rugi teruk, teladan dan pampasan berjumlah
RM105 juta, faedah, kos serta perintah injuksi menghalang kedua-dua defendan daripada terus mengeluarkan perkataan fitnah tersebut.

Di luar mahkamah, Mohd Haaziq memberitahu wartawan pihaknya akan membuat tindakan susulan untuk menyampaikan writ saman terhadap Manohara dan bunya yang kini berada di Indonesia.

"Tak perlulah menyembunyikan diri, bagi memudahkan writ saman disampaikan. Mereka mempunyai selama 21 hari untuk memasukkan kehadiran selepas penyampaian writ ini.

"Setiap orang boleh bercakap apa sahaja, tetapi adakah mereka mempunyai bukti? Inilah masanya untuk mereka tampil dan membuktikan dakwaan mereka jika benar," katanya.

Tengku Fakhry, 31 dan Manohara, 17, yang memegang gelaran Cik Puan Temenggong, telah berkahwin pada 26 Ogos tahun lalu dan menetap di Istana Mahkota, Kubang Kerian, Kelantan.

Selepas sembilan bulan berkahwin, Manohara telah pulang ke Indonesia secara mendadak tanpa kebenaran dan pengetahuan suaminya.

Pada 5 Julai lepas, Tengku Fakhry memfailkan dua saman di Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu terhadap Manohara bagi menuntut isterinya kembali taat kepadanya dan mengembalikan semula hutang sebelum dan selepas berkahwin sebanyak RM972,750.
-malaysiakini.com-

Tiada ulasan: