KUALA LUMPUR, 7 Okt: Anggota tentera digesa tidak gentar dan berasa takut untuk mengundi calon PAS dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang kelak kerana menjadi tugas tentera untuk memerangi musuh negara iaitu rasuah.
Seruan ini dilahirkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi dalam satu kenyataannya kepada anggota keselamatan negara yang akan membuang undi pos tidak lama lagi.
Katanya, anggota tentera wajar memimpin gerakan kebangkitan rakyat dalam memerangi penyalahgunaan kuasa, rasuah dan pelbagai penyelewengan yang dilakukan oleh pemimpin sesebuah negara sebagaimana yang berlaku di negara-negara lain.
"Kebangkitan rakyat yang berlaku di sesebuah negara sebenarnya tidak meminggirkan peranan anggota tentera . Sebahagiannya anggota tenteralah yang memimpin kebangkitan tersebut.
"Saya sebenarnya tidak bimbang sokongan anggota tentera kepada Pakatan Rakyat amnya dan PAS khasnya tetapi malangnya kita dihambat oleh sistem undi pos yang terdedah kepada manipulasi pihak Umno dan BN.
"Begitu juga tekanan atau ugutan dari pegawai atasan kepada anggota tentera yang memaksa mereka mengundi UMNO dan BN seperti penggunaan borang 2 yang memuatkan data dan latar belakang pengundi tersebut . Sedang undi dalam sistem pilihan raya negara kita adalah rahsia . Apabila undi tersebut terdedah kepada pengetahuan pihak lain , ia mengganggu ketulusan dan ketelusan demokrasi,"jelasnya sambil menegaskan bahawa anggota tentera wajar berada di barisan hadapan bersama kebangkita rakyat untuk menuntut perubahan khasnya menentang rasuah.
"Inilah antara yang berlaku di negara-negara lain seperti Thailand yang akhirnya berjaya menuntut perubahan total dan meruntuhkan kerajaan rasuah.
"Tiada apa sebenarnya yang perlu dibimbangi jauh sekali ditakuti oleh anggota tentera sesuai dengan semangat wira mereka sebagai anggota tentera yang sasa dan berani . Apatah lagi hanya sekadar untuk mengundi dan memberi sokongan kepada PAS atau Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang meskipun undi itu diketahui,"katanya lagi.
Sementara itu, Nasrudin turut memberi jaminan bahawa Dewan Pemuda PAS Pusat telah bersetuju untuk menyediakan khidmat guaman percuma kepada mana - mana anggota tentera yang diambil tindakan semata-mata kerana mengundi PAS dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang kelak .
"Selamat mengundi dengan penuh tanggungjawab untuk memilih pemimpin yang bersih , berwibawa dan jauh dari krisis integriti.
"Ingat pesan Mursyidul Am PAS, jangan sesiapa takut untuk mengundi PAS . Sayugianya demokrasi negara telah matang dan demikian juga para pengundi. Undilah dengan wajar dan waras berasas ilmu dan kepentingan masa depan negara. Bukan mengundi kerana diugut atau dibayar tetapi dengan kesedaran dan kefahaman,"tambahnya.
Nasrudin juga menegaskan bahawa,"bagi memastikan perjalanan undian pos berjalan dengan baik dan selamat , Dewan Pemuda PAS akan senantiasa mengekori perkembangannya dalam jarak sejengkal dibelakang dan mendahului kawalan dan pengawasan sejengkal di hadapan agar tiada sebarang penyelewengan.
"Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mana - mana individu yang dikesan melakukan penyelewengan atau penipuan ke atas undi pos sekalipun melibatkan pegawai-pegawai tertentu dari kalangan pemerintah anggota tentera,"tegasnya lagi.
Sementara itu,Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dalam satu kenyataan sebelum ini, yakin anggota tentera yang akan mengundi dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang akan bersama-sama rakyat untuk mempertahankan negara ini dari serangan politik wang.
"Rakyat semakin berubah dan semakin berani menentang cengkaman kuasa mereka yang berkeras dengan rasuah dan politik wang.
"PAS yakin, anggota-anggota tentera pasti akan bersama-sama rakyat mempertahankan negara kita dari serangan rasuah dan politik wang," kata beliau yang juga pengarah pilihan raya PAS bagi pilihan raya kecil tersebut.
Menurut Salahuddin, pilihan raya kecil Bagan Pinang adalah peluang kepada anggota-anggota tentera untuk menyatakan bahawa mereka tidak lagi boleh menerima wabak rasuah yang boleh mengancam nyawa mereka.
"Menentang rasuah adalah soal mempertahankan nyawa bagi angkatan tentera.
"Rasuah boleh mengakibatkan pembelian peralatan pertahanan yang mengancam nyawa seperti membeli kereta kebal yang disesuaikan harganya dengan kepentingan perasuah dan kemudiannya dipasang senjata berat sehingga tidak boleh digunakan untuk tujuan pertahanan.
"Perkara sedemikian, jika benar berlaku seperti yang dilaporkan sebelum ini, membuktikan bahawa rasuah akhirnya mengancam nyawa anggota-anggota tentera," kata beliau.
Berdasarkan daftar pemilih setakat 4 September lalu, daripada sejumlah 13,664 orang yang layak mengundi di Bagan Pinang, seramai 4,604 merupakan pengundi pos.
Mereka adalah dari Pusasda Kem Si Rusa, 2 KAD Kem Sunggala, IJED Kem Kg Sawah, IPDA Port Dickson, 1 Kompeni KPD Kem Si Rusa, 1 WKSP Bgd Kem Sg Sawah, Sekolah Pertukangan Perintis dan Institut Latihan dan Kefahaman Islam Angkatan Tentera Malaysia (ILMI) Port Dickson.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan