"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Antara terjahan Dr Maza dan soalan Tok Guru untuk Umno / UBN Najib Altantuya /PKFZ

Mat Zain Mat Isa

Dalam kolum tetapnya di sebuah akhbar mingguan, Ahad (4 Oktober) lalu, bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin (Dr Maza) menulis tentang ‘Islam tulen dan Umno’. Sepertimana lazimnya tulisan beliau sangat berterus-terang, tanpa kecenderungan ‘takut atau meraikan’ mana-mana pihak.



“Saya terlebih (dahulu?) akui bahawa saya bukan ‘ahli politik’ untuk menghuraikan masalah Umno. Namun, sebagai seorang yang dianggap ada sedikit sebanyak pengetahuan tentang Islam, saya ingin menyentuh soal Islam dalam Umno,” demikian beliau memulakan coretannya.

Penghuraiannya kali ini adalah reaksi terhadap dambaan ramai tokoh Umno yang bertanyakan pendapatnya akan cara memulihkan parti itu. Tanpa selindung Dr Maza terus menerjah Umno dengan persoalan Islam.

Beliau meletakkan asas jelas bagi Umno bahawa jika parti itu mahu masyarakat Melayu terus menerimanya, Umno mestilah menjaga dan mendokong dengan baik Islam sebagai nadi hidup mereka.

“Justeru itu, jawaban saya mudah sahaja: Umno! Kembalilah kepada Islam tulen! Umno mesti memainkan peranan sebagai gerakan dakwah kepada Islam yang tulen, moderat dan progresif,” ujarnya.

Saranan itu tidak terhenti setakat itu. Ia diperjelaskan menerusi penghuraian panjang lebar. Dr Maza sempat melontarkan beberapa soalan panas yang sayugia direnung Umno.

Di ketika lain, beliau menyuarakan pemerhatian peribadinya yang agak keras mengenai letak duduk Umno dan Islam. Katanya, beliau menemui ramai orang yang ingin kembali menghayati Islam, tetapi kebanyakan mereka tidak memilih Umno.

“Secara jujur, akuilah iklim dan suasana Islamik tidak cukup kuat dalam Umno untuk mereka yang ada semangat Islam rasa selesa boleh menumpang atau mengambil manfaat,” tegasnya.

“Saya ingin bertanya, apakah kita dengar seorang ibu atau bapa menyebut: ‘Anak saya dulu lemah pegangan Islamnya, atau kefahaman Islamnya, tetapi sekarang menjadi Muslim yang baik penghayatan dan kefahamannya kerana aktif dalam Umno’?”, terjah Dr Maza lagi.

Beliau mengakui agak sukar menemui ungkapan sebegitu. Jika ada pun, katanya, ia mungkin kes terpencil.

Lantaran itu beliau menyarankan agar Umno jujur terhadap Islam, zahir dan batin. Umno perlu ikhlas terhadap kerja Islam sehingga gerak kerja pendokongnya terhadap parti layak dianggap ibadah. Dengan itu, jika pun Umno tidak menang pilihan raya, parti itu yakin boleh menang pahala.

Dr Maza turut menyebut buat masa ini imej Umno sering dikaitkan sebagai kurang Islamik dan para pemimpinnya dikatakan kurang kefahaman Islam.

Sementara beliau menyarankan Umno memperbetulkan imej itu, bagi kita pula apa yang beliau luahkan itu, itulah juga sebenarnya punca utama pertembungan antara PAS dan Umno sejak berdekad lamanya. Pertelagahan tradisi antara dua parti utama orang Melayu itu sebenarnya bertitik tolak soal akidah, mengenai batas iman dan kufur serta perbezaan pegangan mengenai persoalan Islam dan politik.

Letak duduk Umno dari perspektif Islam tulen sepertimana diterjah Dr Maza itulah yang cuba diterangkan para pemimpin PAS. Malangnya para pemimpin Umno terlalu angkuh dan ego untuk menerima atau cuba memahami hakikatnya.

Suratan atau kebetulan, Ahad lalu juga, di sebelah malamnya, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat turut mengulas perkara sama, iaitu ‘Islam tulen dan Umno’. Dalam ceramahnya bersempena perasmian bangunan baru PASTI Al-Khairiah, di Alur Keladi, Besut, Menteri Besar Kelantan itu mengulang sebut dua soalan asas yang menyebabkan beliau menolak sebarang kerjasama politik dengan Umno.

“Ambo (saya) tanya dua soalan (kepada pemimpin Umno). Pertama, pasal apa Umno tolak Islam, Umno tak nak kepada (pelaksanaan dan dasar perjuangan) Islam ? Yang kedua, sebab apa Umno lawan PAS?”, jelas Tok Guru.

Beliau merujuk kepada isi utama surat peribadi beliau kepada pemimpin tertinggi Umno beberapa bulan lalu. Ketika itu isu Tok Guru melabelkan Umno sebagai sesat sedang hangat dibual bicara. Tok Guru mengaitkan penyelewengan Umno kerana parti itu menolak Islam sebagai dasar perjuangan dan mengambil nasionalisme sebagai ganti.

Malam itu pula Tok Guru mengibaratkan manusia yang menghuni dunia ini umpama pelajar yang menghuni asrama sekolah. Sebagaimana pelajar yang diberikan segala kelengkapan dan keperluan agar belajar bersungguh dan berjaya dalam pelajaran, manusia yang dijagai Allah dengan segala keperluan di dunia ini juga ada tujuannya, iaitu untuk mengabdi diri kepadaNya.

Tok Guru turut membangkitkan soal dosa dan pahala bagi setiap perbuatan manusia. Sepertimana harapan Dr Maza agar apabila Umno betul dengan kehendak Islam, maka gerak kerjanya menjadi ibadah dan mendapat pahala di sisi Allah, penerangan Tok Guru malam itu turut menjurus ke arah pertanyaan sama. Apakah beroleh pahala gerak kerja sebuah parti yang tidak berdasarkan Islam? Jika tidak mendapat pahala, bagaimana mungkin pendokongnya akan masuk syurga?

Secara jujur soalan-soalan tadi elok diulang tanya kepada Umno. Persoalan sebegitulah sebenarnya yang menunjangi persengketaan tidak berkesudahan antara PAS dan parti itu. Meski pun berbeza pendekatan, terjahan Dr Maza dan hujahan Tok Guru terhadap Umno adalah sealiran.

Tiada ulasan: