"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bil. 6666 mesti di tolak!!

shubra
Berdasarkan apa yang saya pelajari, dalam "Ilmu Fawasil" (Ilmu Tentang Bilangan Ayat al-Quran) tidak pernah saya menjumpai bilangan ayat al-Quran sebanyak 6666... Dalam 6 riwayat yang ada tiada satu riwayat yang menyatakan bilangan ayat Al-Quran itu 6666.

Assalamualaikum wbt...

Baru2 ni saya berkesempatan utk singgah ke Darul Ansar, salah sebuah kedai buku serta barangan Islamik di Kuantan Parade. Saya terpandang satu cd yang tertulis pada cd tersebut "Bacaan Ayat Al-Quran 30 Juz - 6666 ayat". Apa yang saya fikirkan ketika itu ialah masih kedapatan lagi salah faham terhadap bilangan sebenar ayat Al-Quran di dalam masyarakat Melayu. Saya rasa pengetahuan ini sangat perlu di perbetulkan. Memang semasa saya di sekolah rendah lagi telah didedahkan tentang bilangan ayat Al-Quran sebanyak 6666, tetapi bilangan itu adalah salah dan pihak yang berwajib perlu memperbetulkannya.

Berdasarkan apa yang saya pelajari, dalam "Ilmu Fawasil" (Ilmu Tentang Bilangan Ayat al-Quran) tidak pernah saya menjumpai bilangan ayat al-Quran sebanyak 6666... Dalam 6 riwayat yang ada tiada satu riwayat yang menyatakan bilangan ayat Al-Quran itu 6666.

Berkata Imam Ad-Daani: “Para ulama sepakat mengatakan bahawa bilangan ayat Al-Quran melebihi 6000 ayat, tetapi mereka berselisih pendapat tentang bilangan yang lebih dari 6000 tersebut”

Berikut adalah pandangan-pandangan ulama dalam masalah ini:

1. Pendapat pertama Ahli Madinah : 6217 ayat (diriwayatkan dari Nafi’)

2. Pendapat kedua Ahli Madinah : 6214 ayat (diriwayatkan dari Syaibah bin Nasshoh) dan 6210 ayat (diriwayatkan dari Abu Ja’far bin AlQa’qa’)

3. Pendapat Ahli Mekah : 6220 ayat (diriwayatkan dari Ibnu Khathir Al-makkiy)

4. Pendapat Ahli Kufah : 6236 ayat (diriwayatkan dari Hamzah AzZayyat, Al-Kisaie dan Khalaf bin Hisyam)

5. Pendapat Ahli Basrah : 6205 ayat (diriwayatkan dari ‘Aashim bin ‘Ajjaj Al-Jahdari)

6. Pendapat Ahli Syam : 6226 ayat (diriwayatkan dari Yahya bin Harith Az-Zammari)

Kesimpulannya tiada riwayat yang menyatakan bilangan ayat Al-Quran itu 6666. Punca perselisihan bilangan ayat-ayat Al-Quran ini ialah Nabi SAW membaca Al-Quran dengan diwakafkan di setiap akhir ayat sebagai isyarat tentang kedudukan akhir ayat. Kemudian setelah sahabat baginda mengetahui perkara tersebut, Nabi SAW menyambung satu ayat dengan ayat selepasnya yang ada kaitan makna untuk menyempurnakan maksud dan kefahaman ayat tersebut, lalu ada yang mengaggap bahawa kedua-duanya dikira satu ayat dan ada yang menganggap ia dua ayat yang berasingan. Khilaf ini tidak beerti ada penambahan ayat atau kurangnya ayat menurut pendapat-pendapat tersebut.

Akhirnya, bilangan yang diguna pakai oleh mushaf-mushaf Rasm Uthmani riwayat Hafs sekarang ialah bilangan Ahli Kufah iaitu 6236 ayat.

Wallahua’lam

Rujukan :
1) Al-Quran
2) Matan Nazimah al-Zuhri. Imam Syatibi, (Syarh Syeikh Abdul Fatah al Qadhi)
3) Al-Itqan. Al-Hafiz Jalaluddin Assuyuthi

Tiada ulasan: