"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kartika Sari Dewi diceraikan oleh suaminya, Mohamad Afandi

IPOH: Bekas model sambilan yang sedang menunggu hukuman sebat kerana didapati bersalah meminum arak, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, kini dalam proses perceraian dengan suaminya, Mohamad Afandi Amir, 38.

Ketika ditemui Berita Harian di sini, semalam, beliau berkata, Mohamad Afandi, warga Singapura, dijadual memfailkan permohonan cerai itu di Mahkamah Syariah Kuala Kangsar seminggu dua lagi.

Katanya, suaminya melafazkan cerai di rumah mereka di Singapura Mei lalu sebelum melaporkan lafaz berkenaan di Mahkamah Syariah Bishan, Singapura, sehari kemudian.

“Sebelum ini, saya menyembunyikan hal ini termasuk daripada kedua-dua ibu bapa kerana tidak mahu mengganggu perasaan mereka, lebih-lebih lagi ketika itu saya menghadapi perbicaraan di Mahkamah Syariah Kuantan.

“Sekarang saya mendedahkan perkara sebenar kerana tidak sanggup lagi berasa tertekan,” katanya.

Kartika Sari mendirikan rumah tangga dengan jurutera rangkaian agensi berita antarabangsa itu di Singapura pada 1997 dan dikurniakan dua cahaya mata, Mohamad Azfar, 7 dan Wann Kaitlynn Saridewi, 5.

Kartika Sari yang berasal dari Kampung Jawang Utara, Sungai Siput, dekat sini, berkata perkahwinannya dilangsungkan di Singapura dan kemudian didaftarkan di Kuala Kangsar.

Dia didakwa kerana meminum arak pada 1 Disember 2008 dan pada 20 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan selepas disabitkan kesalahan berkenaan.

Kartika Sari yang menangis setiap kali menjawab soalan ketika ditemubual berkata, penangguhan hukuman sebat sejak lima bulan lalu memberi tekanan tinggi kepadanya dan mengakibatkan kesan negatif kepada anak keduanya.

“Saya cuba menyembunyikan perasaan setiap kali bersedih dan menjauhkan diri daripada Wann Kaitlynn tetapi dia masih boleh merasai jiwa saya.

“Kami sekeluarga membawa dia ke taman tema dan mandi di kolam renang untuk mengurangkan tekanan.

“Wann Kaitlynn juga merindui ayahnya yang dipanggil ‘Daddy Cool’ kerana saya hanya pulang ke Singapura sebulan sekali selepas mahkamah menjatuhi hukuman denda dan penjara terhadap saya,” katanya.

Pada 11 Julai 2008 penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang menahan Kartika Sari di sebuah hotel di Cherating ketika meminum arak bersama rakan bukan Islam.

http://www.bharian.com

Tiada ulasan: