"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mustafa Ali sokong saranan Nik Aziz

Salma Husin
KUALA LUMPUR, 29 Dis:
Setiuasaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyokong saranan agar semua orang boleh menjadi ketua kerajaan tanpa mengira bangsa dengan syarat dia seorang Islam yang baik.

Namun, Mustafa mencadangkan agar syarat baru itu tidak hanya untuk Menteri Besar Kelantan sahaja bahkan juga pemimpin utama negara.

"Saya tidak setuju ia terbatas kepada Kelantan sahaja tetapi seluruh negara dan perlembagaan Persekutuan perlu dipinda untuk membolehkan semua orang, tanpa mengira dia Cina atau India, dengan syarat Islam boleh menjadi perdana menteri dengan syarat dia memenuhi kualiti kepimpinan yang baik," kata Mustafa kepada Harakahdaily.

Sebelum ini, Nik Aziz berkata, beliau sedia meminda perlembagaan Kelantan untuk membolehkan orang bukan Melayu boleh menjadi menteri mesar negeri itu.

Namun, segelintir pemimpin Umno menolak cadangan itu dengan andaian ia membelakangi kepentingan Melayu.

Ketua Pembangkang di Dun Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad menyifatkan Nik Abdul Aziz sebagai hilang kredibiliti dan tidak perlu lagi diulas sebarang kenyataannya.

Ketika mengulas pandangan balas itu, Nik Aziz menyifatkan mereka yang mempertikaikan cadangannya melantik orang Cina Muslim sebagai ketua kerajaan di Kelantan sebagai taksub kepada bangsa sendiri.

Katanya, bangsa Cina yang beriman kepada Allah tidak menjadi kesalahan dilantik sebagai pemimpin, memandangkan pemikiran mereka sudah lama maju ke hadapan.

“Pihak yang tidak bersetuju dengan pendapat itu kerana taksub kepada bangsa sendiri,” katanya di sini.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, pemimpin Umno begitu taksub terhadap bangsa sehingga menganggap bangsa lain tidak layak menjadi pemimpin.

“Walaupun bangsa lain itu warak, takwa, pelajaran tinggi, namun kerana terikat dengan bangsa mereka tidak bersetuju,” ujarnya.

Menurutnya juga kenyataan pemimpin yang enggan menerima kemampuan bangsa lain menyebabkan Umno tidak tempat dalam politik negara pada masa akan datang.

Malah katanya akan lebih memburukkan imej Umno di kalangan masyarakat Cina.

“Kalau bangsa Arab sekali pun jahat nak jadi Menteri Besar saya tidak terima, tetapi kalau orang Cina berperangai baik, saya akan menyokongnya.

Menurutnya, dengan cara ini akan memperluaskan kefahaman Islam kepada masyarakat pelbagai bangsa.

Ketika ditanya adakah undang-undang membenarkan pelantikan itu kata beliau perkara tersebut boleh dipinda.

Tiada ulasan: