"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pengelola Istana kurang senang kenyataan Dr Amir

Pejabat Sultan Kelantan hari ini mengingatkan "individu luar" supaya tidak mencampuri urusan Istana Kelantan dengan membuat kenyataan yang bukan dalam bidang kuasa mereka.

Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, berkata kenyataan oleh Kolonel Dr Amir Ramli yang disebut sebagai Pakar Perubatan Sultan Kelantan, dalam beberapa akhbar sebelum ini, adalah tidak bersesuaian sama sekali.

"Adalah tidak wajar beliau memberi teguran melalui media dan arahan kepada pegawai yang bukan di bawah kawalan beliau. Peringatan yang diberikan Dr Amir adalah baik, bagaimanapun ia tidak sesuai kerana Dr Amir bukanlah kakitangan Pejabat Sultan Kelantan dan saya tidak bertanggungjawab kepadanya dalam menjalankan tugas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Amir sebelum ini telah meminta Abdul Halim agar tidak membuat sebarang kenyataan akhbar mengenai kesihatan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra.

Mengulas perkara itu, Abdul Halim berkata sehingga kini pejabat itu tidak menerima sebarang surat daripada pihak tertinggi Angkatan Tentera Malaysia yang menyatakan Dr Amir telah ditempatkan di pejabat tersebut.

"Teguran beliau boleh menimbulkan persoalan 'siapa beliau' sedangkan tidak ada sebarang pelantikan secara rasmi sebelum ini," katanya.

Abdul Halim berkata, beliau selaku Pengelola Istana sebenarnya langsung tidak berhasrat membuat kenyataan mengenai tahap kesihatan baginda dan apa yang dilakukannya sebelum ini hanya mengikut titah.

Katanya, tuduhan kononnya beliau dan pegawai istana yang lain tidak menjenguk baginda di istana juga tidak wajar kerana apa yang dilakukan adalah berdasarkan kepada keperluan dari semasa ke semasa.

"Kita perlu memahami latar belakang yang berlaku dalam keluarga diraja dan apakah sumbangan yang boleh kita berikan. Sebagai ketua di pejabat Sultan Kelantan, saya akan menghadap Tuanku apabila ada masa yang sesuai atau dititah oleh tuanku," katanya.

Abdul Halim juga mengingatkan Dr Amir tidak menghuraikan hal ehwal kewangan kerajaan seperti urusan pembayaran bil hospital kepada akhbar kerana itu tidak wajar.

Pada 15 Julai lalu, Tuanku Ismail Petra berangkat ke Hospital Mount Elizabeth di Singapura untuk rawatan susulan bagi penyakit jantung baginda dan pulang Rabu lalu.

-Bernama-

Tiada ulasan: