"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tolak isu perpaduan, fokus 'sistem dua parti'

Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, 22 Julai:
PAS sewajarnya fokus pada usaha mewujudkan sistem dua parti, bukannya ghairah menyambut rancangan 'kerjasama Umno-PAS' yang dipopularkan semula oleh beberapa pemimpin Umno, kata penganalisis politik, Prof Dr. Abdul Aziz Bari (gambar).

Ini kerana, katanya Umno yang dianggap mengidapi virus berbahaya bakal memusnahkan kekuatan yang sedia ada pada PAS sekarang.

"PAS perlu fokus dalam mewujudkan sebuah sistem dua parti yang akan membantu memperkasa rakyat di negara, PAS akan dikutuk oleh rakyat jika termakan dengan gula-gula Umno.

"PAS akan dijangkiti Aids yang Umno hidapi sekarang," ujarnya sebagaimana dipetik dari email beliau kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga pakar perlembangan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, rancangan tersebut yang kononnya untuk perpaduan Melayu itu wajar dipertikai.

"Persetan perpaduan Melayu kerana dalam Umno sendiri berpecah, elok Umno masuk PAS atau PKR," tegasnya.

Difahamkan, rancangan Umno tersebut mungkin setelah melihat minat masyarakat Melayu umumnya masih bersama Barisan Nasional, sedangkan masyarakat bukan Melayu lebih berminat pada PAS dan Pakatan Rakyat, sebagaimana pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) dua tahun lalu.

Ekoran itu, beliau berkata, rancangan tersebut bakal mengukuhkan sokongan Melayu pada Umno BN, bukannya Pakatan Rakyat.

Melihat pada permainan itu, katanya lagi, rakyat umumnya mungkin bakal menolak PAS di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) kelak sekiranya pemimpin PAS di negeri itu masih berminat untuk mengadakan 'pelan damai Umno-PAS' yang kononnya demi kepentingan Melayu.

Ini kerana, menurut beliau, kemenangan PAS serta Pakatan Rakyat di peringkat nasional dan beberapa negeri umumnya adalah hasil sokongan masyarakat bukan Melayu.

"Yang teringin nak bekerja dengan Umno, lupa diri negeri-negeri Pakatan, termasuk Kedah, akan jatuh kerana orang bukan Melayu akan marah dengan PAS, ia perlu ingat," jelas beliau sambil menasihatkan PAS supaya kembali melihat pada lanskap 'politik baru' PRU12 lalu.

Pun begitu, beliau mengaku bahawa masyarakat Melayu di Kelantan pada pilihan raya umum lalu banyak membantu PAS dan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Dari segi yang lain, beliau berkata, imej PAS bakal dipandang serong oleh rakyat dan parti-parti komponen Pakatan Rakyat sekiranya PAS terperangkap oleh rancangan terbaru Umno itu.

"PAS akan tersungkur serta dikenang sebagai tidak setia dan menikam dari belakang oleh rakan-rakan dalam Pakatan.

"Imej jangka panjang ini perlu PAS ingati, selain pengalaman dalam BN pada 1972 hingga 1977 lalu, landskap politik baru itu akan menelan PAS," tegas beliau.

Beliau turut menyuarakan rasa yakin bahawa rakyat tetap melakukan perubahan pada pilihan raya umum yang dijangka berlangsung tidak lama lagi walaupun PAS masih berminat dengan rancangan tersebut.

"PRU 13 cerah tapi kalau PAS masuk perangkap Umno, ia akan bungkus dan Umno akan hidup. Umno perlukan talian hayat," ujarnya lagi.

Tiada ulasan: