"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kerajaan digesa bertindak terhadap pasangan sejenis

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 3 Sept:
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mahu kerajaan mengambil tindakan berdasarkan prinsip perlembagaan dan undang-undang di negara ini yang melarang hubungan sejenis dan juga perkahwinan sejenis.

Pemangku ketuanya, Herman Samsudeen berkata, adalah menjadi prinsip keadilan di Malaysia untuk mendakwa mereka secara adil, dan kewajipan bagi kerajaan untuk menyiasat paderi homoseksual (gay), Ou Yang Wen Feng yang terang-terangan mengakui orentasi seksnya yang songsang itu.

DPPWP juga, katanya mahu kerajaan menyatakan pendirian dan tindakan yang sewajarnya kepada paderi itu yang cuba menyebarkan doktrin orentasi seks sejenis di negara ini melalui gereja rahsianya.

Katanya, Ou Yang yang kembali ke negara ini beberapa tahun lalu setelah berkhidmat di Metropolitan Community Church (MCC), New York telah menubuhkan sebuah gereja yang juga cawangan MCC di Malaysia bagi mengumpulkan dan memperjuangkan hak golongan gay dan lesbian di negara ini.

Beliau telah mengumumkan orentasi seks songsangnya bersama pasangannya Angel Ayala dan mengemukakan cadangan membuka gereja bagi golongan gay-lesbian di negara ini pada 2007.

Cadangannya mendapat tentangan dari Roman Catholic Church di Sabah, National Evangelical Christian Fellowship (NECF) dan the Council of Churches Malaysia (CCM).

“Hal ini juga mencetuskan kebimbangan rakyat yang menganut agama lain termasuk Islam ketika itu kerana ia melanggar moral dan ajaran semua agama,” kata Herman.

Namun, katanya Ou Yang terus mencabar institusi masyarakat Malaysia dengan meneruskan hasratnya dan menubuhkan gereja berkenaan seperti yang di laporkan oleh Malaysiakini dalam artikel yang bertajuk ‘Komuniti gay melampaui batasannya'.

Menurutnya, dalam buku Bible-Roman dan Ezkiel sendiri menyebut tentang keburukan dan natijah hubungan sejenis.

Tambahnya, Islam pula jelas melarang umatnya melakukan hubungan sejenis dan ini telah dinyatakan dalam Quran melalui hukuman Allah kepada kaum Nabi Luth:

Allah berfirman yang bemaksud: Dan Luth ketika berkata kepada kaumnya: mengapa kalian mengerjakan perbuatan faahisyah (keji) yang belum pernah dilakukan oleh seorangpun sebelum kalian. Sesungguhnya kalian mendatangi laki-laki untuk melepaskan syahwat, bukan kepada wanita; malah kalian ini kaum yang melampaui batas. Jawab kaumnya tidak lain hanya mengatakan: "Usirlah mereka dari kotamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berpura-pura mensucikan diri. Kemudian Kami selamatkan dia dan pengikut-pengikutnya kecuali istrinya; dia termasuk orang-orang yang tertinggal (dibinasakan). Dan Kami turunkan kepada mereka hujan (batu); maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berdosa itu." [QS Al-A'raf: 80-84].

Allah menggambarkan azab yang menimpa kaum nabi Luth dengan firman-Nya yang bermaksud: "Maka tatkala datang azab Kami, Kami jadikan negeri kaum Luth itu yang di atas ke bawah (Kami balikkan), dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi, yang diberi tanda oleh Tuhanmu, dan siksaan itu tiadalah jauh dari orang-orang yang zalim" [Hud: 82-83]

DPPWP, kata Herman tidak melihat masalah itu di pihak Kristian sahaja, tetapi menganggap ia sebagai ancaman kepada masyarakat Malaysia keseluruhannya.

“Perkara ini seharusnya dipandang jijik oleh masyarakat dan telah terbukti kesannya apabila ramai golongan yang mengamalkan seks songsang ini dijangkiti HIV dan Aids yang juga ancaman kepada sistem kesihatan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, hubungan sejenis juga merosakan keturunan manusia.

“Adalah satu perkara yang mustahil seorang lelaki yang berkahwin dengan seorang lelaki untuk mengandung atau seorang wanita yang berkahwin dengan wanita memperolehi zuriat.

“Kemunculan golongan gay dan lesbian di negara ini adalah ancaman besar kepada pertumbuhan populasi dalam negara ini,” ujarnya lagi.

Tiada ulasan: