"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cina lebih takutkan Umno dari PAS - TMI

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 11 Okt: MCA diberi peringatan bahawa masyarakat Cina di negara ini sekarang lebih bimbang dengan Umno berbanding dengan PAS. Peringatan ini diberikan oleh pengarang laman web The Malaysian Insider (TMI).

Peringatan ini diberikan ekoran amaran yang diberikan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kononnya PAS akan memerintah negara ini dengan Islam autokratik jika Pakatan Rakyat berkuasa.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek memberi amaran, meskipun PAS memperlihatkan kesederhanaan parti Islam itu pasti tidak akan mengetepikan “pendirian autokratik Islam” jika PR menguasai Putrajaya.

“Kami merasakan jika Pakatan berkuasa, PAS akan berada di tempat kapten.

“PAS tidak akan melupakan dasar autokratik Islam dan jangan terkejut jika PAS memperoleh kuasa, ia akan kembali keterbelakang,” tegas Dr Chua dalam ucapan dasar presiden MCA pada Perhimpunan Agung Tahunan Ke-57 semalam.

Amaran itu dijawab oleh pengarang laman web TMI itu semalam.

"Sesiapa yang tinggal di Kelantan akan memberitahu anda, bahawa pentadbiran PAS jauh lebih toleransi dan menghormati hak lain-lain pihak berbanding dengan negeri-negeri yang diperintah Umno.

"Faktanya jelas, undi Cina bandar sangat penting dan mereka lebih bimbangkan Umno berbanding PAS," tulis pengarang TMI itu.

Bagi TMI, pandangan Chua itu hanya mengulangi rekod lama yang dibuat MCA untuk menakut-nakutkan pengundi Cina sahaja.

"Masejnya adalah, walau pun Umno dan MCA tidak baik, PAS lagi buruk," tulis pengarang laman web itu semalam.

Bagi pengarang itu, dengan keadaan Umno yang sangat baik dengan Perkasa yang dipimpin Ibrahim Ali, keboleh percayaan orang terhadap ancaman MCA itu diragui.

"MCA sekarang tidak dihiraukan lagi oleh Umno. Dan tidak banyak lagi yang boleh ditawarkan oleh Chua kepada masyarakat Cina kecuali menakut-nakutkan mereka," tulis pengarang itu.

Sementara itu, seorang bekas petugas sebuah badan yang dimiliki MCA menjangka, 80 peratus pengundi Cina di Galas akan mengundi PAS dalam pilihan raya kecil ini.

Ketika ditemui di majlis hari raya yang dianjurkan Harakah baru-baru ini, beliau berkata, walaupun tidak ada kajian mengenainya, "Saya yakin angka ini betul."

Dalam pilihan raya umum 2008 lalu, 24.01 peratus dari 10, 330 pengundi Galas adalah dari masyarakat Cina.

Tiada ulasan: