Nazri Abdullah
KUALA LUMPUR, 11 Okt: Penerimaan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengarah Pilihan Raya Umno BN bagi Dun Galas secara tidak langsung menjelaskan bahawa beliau menolak tawaran sebagai calon bagi PRK itu.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, beliau yakin itu satu cara Ketua Umno Gua Musang itu memberi isyarat untuk menolak menjadi calon.
"Dengan menerima jawatan Pengarah Pilihan Raya, secara tak langsung dia sebenarnya menolak menjadi calon.
"Mana ada setakat ini dia pengarah pilihan raya, pada masa sama dia juga calon yang bertanding," katanya yang juga Parlimen Tumpat.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di lobi perlimen hari ini.
Beliau diminta mengulas pendirian Tengku Razaleigh yang menerima tawaran pengarah pilihan raya namun belum memberi jawapan berhubung soal calon.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib di parlimen hari ini menyerahkan surat perlantikan sebagai pengarah pilihan raya Galas secara rasmi kepada Ahli Parlimen Gua Musang itu.
Berhubung soal calon, Najib bagaimanapun menyerahkan perkara itu kepada Tengku Razaleigh sendiri.
Tengku Razaleigh selepas pertemuan dengan Perdana Menteri hari ini bagaimanapun memberitahu masih belum membuat apa-apa keputusan berhubung soal calon.
"Tiada sebarang keputusan yang dibuat," katanya kepada pemberita selepas pertemuan tersebut.
Penjelasan tersebut terus meletakan sama ada Tengku Razaleigh sebagai calon Umno di Galas dalam persoalan.
Namun bagi PAS, persoalan tersebut langsung tidak mengganggu persiapan mereka berdepan PRK itu.
Seperti banyak kali dijelaskan oleh Mursyidul Am Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, PAS tetap akan bertanding sekalipun Najib menjadi calon BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan