"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Edar ketamin: Nenek dihukum gantung sampai mati

Hukuman mati ternyata tidak mengira usia apabila seorang wanita warganegara India berumur 64 tahun dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini selepas didapati bersalah mengedar ketamin seberat 2,925 gram di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA), di Sepang dua tahun lalu.

Hakim Noor Azian Shaari menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati bahawa tertuduh, Fazila Bee Abdul Kareem gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Wanita itu, yang mempunyai tiga orang anak, didakwa mengedar dadah berbahaya itu di Kaunter Pemeriksaan Kastam A, Unit Khas Pemeriksaan Penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa, KLIA, kira-kira pukul 2.30 petang pada 13 Feb 2009.

Fazila Bee didakwa mengikut Seksyen 39 B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Dalam penghakimannya, Noor Azian berkata tertuduh dalam pembelaannya mendakwa dia datang ke Malaysia untuk mencari pekerjaan kerana berasal daripada keluarga susah.

Beliau berkata tertuduh mendakwa semasa di lapangan terbang di India, seorang wanita telah meminta tertuduh untuk mendaftar masuk sebuah beg dengan alasan wanita terbabit akan datang bekerja di tempat sama dengan tertuduh.

Noor Azian berkata setelah mempertimbangkannya beliau mendapati keterangan pembelaan tertuduh langsung tidak masuk akal kerana banyak sebab antaranya, visa yang digunakan tertuduh ialah visa pelancong dan bukan permit kerja.

"Kalau nak kerja mesti dah tahu tempat mana nak kerja, nama majikan dan ada permit kerja. Tertuduh juga dikatakan berumur 64 tahun tetapi berdasarkan penampilannya, umur tertuduh dilihat lebih daripada 64 tahun, jadi tidak mungkin ada orang yang nak ambil dia bekerja sebagai pembantu rumah.

"Keterangan tertuduh penuh dengan percanggahan, tidak konsisten, lebih kepada rekaan dan difikirkan semula. Saya dapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan dan tertuduh didapati bersalah. Hanya ada satu hukuman sahaja iaitu tertuduh digantung sampai mati," katanya.

Sejurus Noor Azian membacakan keputusannya, Fazila Bee yang memakai t-shirt putih, berseluar sukan dan bertudung hitam tidak menunjukkan sebarang reaksi.

Bagaimanapun, selepas dia keluar dari kandang tertuduh dan diterangkan oleh peguamnya KA Ramu mengenai hukuman yang dijatuhkan ke atasnya, Fazila Bee dilihat menangis sambil mengangkat tangan seperti berdoa.

Tertuduh juga dilihat berterusan menangis sambil memegang sehelai tuala kecil dan berdoa ketika diiringi anggota polis keluar dari mahkamah.

Sepanjang perbicaraan, seramai enam saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan sementara pembelaan mengemukakan seorang saksi.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya daripada Kastam Diraja Malaysia Nursarah Dina Baharudin yang menyebut bagi pihak Timbalan Pendakwa Raya Naziah Mokhtar.
-Bernama-

Tiada ulasan: