"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Haram telefon bimbit, SPR jangan jadi ‘tali barut’ Umno- Pemuda Pas


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mengingatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya tidak menjadi ‘tali barut’ dengan mencipta undang-undang baru yang hanya  berpihak kepada Umno- Barisan Nasional.
Pengarah Pilihan Raya DPPP, Mohd Firdaus Jaafar berkata demikian mengulas peraturan baru diumumkan SPR pada 16 Mei lalu yang tidak membenarkan telefon bimbit dibawa masuk oleh agen pilihan raya.
“DPPP mengingatkan SPR agar terus memainkan peranan sebagai pengendali pilihan raya tanpa perlu berpihak kepada mana-mana parti. Ketika ‘mood’ rakyat semakin mahu kepada perubahan, SPR tidak sepatutnya menjadi ‘tali barut’ kepada Umno/BN.
“SPR perlu bersikap berkecuali namun rakyat kecewa dengan sikap SPR yang senantiasa mencari alasan untuk mencipta undang-undang yang sebenarnya memihak kepada Umno/BN,” kata Mohd Firdaus dalam kenyataannya hari ini.
Dalam pada itu, beliau meluahkan kesangsiannya  berikutan peraturan baru SPR yang mahu menyekat sebaran maklumat awal keputusan pilihan raya oleh agen pilihan raya, melalui sebaran SMS atau telefon bimbit.
“Tindakan ini seakan menyekat kebebasan maklumat yang perlu diterima dan disampaikan oleh seseorang kepada orang lain.
“Biarlah pilihan raya berlangsung di atas ‘padang yang sama rata’. Sebarang tindakan SPR sentiasa dilihat dan rakyat tidak akan berdiam diri jika SPR terus berlaku curang terhadap sistem pilihan raya di Malaysia,” tegas beliau.

Selain itu, Mohd Firdaus menyeru SPR menumpukan isu yang lebih besar iaitu memperbaiki imej pilihan raya di Malaysia berbanding peraturan baru yang diumumkan oleh badan itu.

“Sepatutnya peranan SPR adalah untuk memperbaiki imej perjalanan pilihan raya di Malaysia, agar rakyat di Malaysia khususnya dan masyarakat dunia umumnya berpuashati.
“Isu seperti daftar pemilih automatik, undi pos yang didesak agar dihapuskan, membersihkan daftar pemilih, akses kepada media, serta celup jari jauh lebih penting untuk ditumpukan berbanding isu remeh seperti yang diperjuangkan oleh SPR,” ujarnya.

Tiada ulasan: