Sebuah akhbar harian berbahasa Cina melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan pertemuan hari ini dengan semua ahli parlimen BN yang telah bersara - sekaligus menguatkan lagi spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan esok untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum awal.
Akhbar Kwong Wah Yit Poh, yang tidak memetik mana-mana sumber, berkata Najib telah memanggil semua ahli parlimen BN yang telah bersara menghadiri satu perjumpaan hari ini berkaitan dengan pilihan raya umum ke-13.
Menurut laporan itu lagi, adalah difahamkan bahawa BN telah menyediakan poster kempen dan risalah. Kebanyakan bahan kempen dicetak di China dan dihantar ke Malaysia dalam kontena.
Untuk meningkatkan sokongan untuk BN, kata laporan itu, Najib tidak lama lagi akan membuat pengumuman, termasuk pengiktirafan kelayakan akademik dari Taiwan, yang merupakan satu tuntutan sudah lama masyarakat Cina kerana banyak graduan sekolah menengah Cina melanjutkan pengajian mereka ke sana.
Menurut jadual rasminya, Najib, yang pulang dari Mekah semalam selepas mengerja ibadat haji, akan menghadiri satu majlis di Kuala Lumpur petang ini untuk dikemaskinikan mengenai kemajuan projek Program Transformasi Ekonomi.
Dengan pentadbiran kerajaan semasa memasuki tahun keempat dan kelembapan ekonomi global yang diselubungi risiko, maka spekulasi yang Najib akan memanggil pilihan raya mengejut bagi mendapatkan mandat baru, bertiup kencang sejak awal tahun ini.
Beberapa laporan media telah membuat spekulasi bahawa Parlimen akan dibubarkan esok, dengan angka "11" disebut-sebut sebagai "nombor bertuah" pilihan Najib, dan 10 Disember mungkin menjadi hari pengundian.
-malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan