"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Red Bean Army' idea dari White House?

Zulkifli Yahaya

RED Bean Army kononnya ialah kumpulan tentera siber pembangkang yang bergerak aktif untuk menghasut rakyat menjatuhkan kerajaan melalui apa cara sekalipun.

Kali pertama nama itu diperkenalkan adalah oleh sebuah akhbar primitif yang terkenal dengan rasis Melayu. RBA dikatakan mempunyai kekuatan seramai 200 orang anggota, didakwa memburuk-burukkan BN sejak enam tahun lalu.

DAP didakwa membiayai RBA dengan peruntukan RM15 juta setahun, bermakna telah menyediakan dana sebanyak RM108 juta untuk enam tahun. Dakwaan tersebut membuatkan Penasihat DAP, Lit Kit Siang ketawa besar.

Kaya sungguh DAP sebagai sebuah parti politik tanpa syarikat perniagaan seperti MCA, boleh membiayai pihak tertentu dengan jumlah wang yang sangat besar (bagi sebuah parti pembangkang).

Akhbar primitif itu bukan setakat mengaitkan RBA dengan DAP tetapi lebih jahat mengaitkannya dengan jenayah dan keganasan. Satu laporan di akhbar tersebut mendakwa pasukan siber 'Red Bean Army' turut mengancam untuk merogol golongan wanita yang menyokong parti BN.

Tulisan di pojok akhbar tersebut hari ini mendakwa, tindakan pasukan siber tersebut semasa pilihan raya itu lebih bahaya dari ancaman pengganas bersenjata.

“Serangan yang mereka lakukan dahsyat. Daripada memfitnah isu pengundi hantu dan menyerang siapa yang menyokong BN sehinggalah menghina raja-raja Melayu, agama Islam, orang Melayu dan memboikot produk syarikat Islam.

“Malah ada tentera siber RBA yang mengancam membakar rumah dan pelbagai bentu ugutan serta buli.


“Bukan sahaja sangat rasis bahkan ekstrem, lebih bahaya daripada ancaman pengganas bersenjata. Semua itu berlaku dalam pilihan raya Malaysia,” kata pengarang akhbar rasis Melayu itu dalam tulisan berkenaan.

Seperti biasa, bagi meyakinkan rakyat Malaysia akan kewujudan RBA maka pihak polis didesak bertindak. Maka muncullah Timbalan Ketua Polis Negara Polis Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memantau aktiviti di laman sosial dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menggunakannya untuk melanggar perundangan negara.

Menurutnya, polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh setiap aktiviti sama ada ia berunsur jenayah atau hasutan, dan sekiranya ada bukti yang kukuh, mereka akan bertindak tanpa memberi amaran. Itu imej polis Malaysia.

Kes seorang aktivis Umno mengancam di alam siber mahu membunuh Tok Guru Nik Aziz beberapa tahun lalu belum habis disiasat (sebab hingga kini belum ada dakwaan) sekarang nak bertindak pula pada RBA.

Persoalannya, adakah sebenarnya RBA ini wujud dalam bentuk terancang seperti didakwa? Jawapannya, karut! Jika semua dakwaan yang dibuat oleh akhbar rasis Melayu itu benar, maka pihak yang paling awal dapat mengesan dan akan bertindak ialah PDRM.

Mengesan penjenayah di alam siber lebih mudah dari mengesan ahli kongsi gelap kerana semua alamat di talian dapat dikesan dengan mudah. Kerajaan ada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memantau dan mengesan. Apabila PDRM tidak mengheret ke muka pengadilan, lebih-lebih lagi yang melibatkan pihak pembangkang, bermakna tiada kes untuk disabitkan.

Pihak rasis Melayu mendakwa bukti kewujudan RBA dalam bentuk kumpulan terancang ialah apabila 'ahli-ahli' kumpulan tersebut meletakkan simbol kacang merah sebagai foto profil. Jika itu buktinya, maka banyak benar kumpulan terancang di alam siber yang wujud.

Foto icon seperti Bersih, Adam Adli, Ini Kalilah, Hijau Lynas, Blackout 505 bertukar ganti menjadi foto profil pemegang akuan laman sosial. Mereka tidak pernah mendaftar sebagai ahli kumpulan tersebut, tetapi ia merupakan trend semasa penghuni alam siber mempamerkan sokongan terhadap mana-mana tuntutan.

Pengwujudan isu RBA oleh akhbar rasis Melayu ini mengingatkan kita kepada pepatah Arab yang selalu diungkapkan oleh AlMarhum Ustaz Fadzil Noor, "Dia memukul aku, dia pula yang menangis." Di alam siber serta di media cetak dan televisyen, pihak yang teruk dibelasah dan difitnah saban waktu ialah pembangkang atau Pakatan Rakyat. Tiba-tiba BN pula yang mengadu diserang menggunakan tentera siber.

Saya pernah didatangi oleh seorang aktivis maya BN, mengaku sudah insaf dan mendedahkan semua gerak kerja mereka sebagai pahlawan siber. Mereka memang dilatih, dibekalkan peralatan uktuk akses alam siber dan diberikan elaun tetap bulanan. Mereka bekerja sepenuh masa untuk BN. Fitnah, adu domba dan provokasi merupakan makanan harian kumpulan tersebut. Sehingga kini semua laman maya tersebut masih terus aktif dan bekerja sepenuh masa untuk BN. Di samping fitnah dan penghinaan melampau terhadap pemimpin Pakatan sebagai sajian utama dalam laman maya mereka, bahan-bahan rasis dan provokasi keagamaan juga disebar tanpa rasa bersalah.

Terdapat lagi pahlawan maya BN yang bukan petugas sepenuh masa tetapi berperanan sepanjang masa untuk menyerang Pakatan dan menaikkan BN. Bukan rahsia lagi bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib pernah dua kali bertemu dan menyampaikan amanat kepada kumpulan yang terdiri dari anak-anak muda ini. Mereka hanya dibekalkan dengan komputer i-Pad tanpa elaun bulanan. Dikatakan terdapat 10 ribu ahli kumpulan ini di seluruh negara, sebahagian besarnya berperanan dalam PRU13 lalu.

Jadi, apabila pihak Umno menonjolkan isu kewujudan RBA sebagai ancaman dalam negara, maka tidak lebih dari pepatah, "Pencuri jeritkan pencuri."

Apabila terdapat gerakan besar-besaran oleh media pro BN untuk menonjolkan RBA, mengaitkannya dengan DAP serta menggesa pihak polis bertindak maka ia mengingatkan kita kepada strategi yang digunakan oleh Amerika Syarikat untuk memusnahkan Iraq.

Alasan yang digunakan oleh tiga Presiden Amerika Syarikat untuk memusnahkan Iraq iaitu George Bush, Bill Clinton dan George W. Bush ialah terhadap senjata pemusnah berskala besar yang merbahaya di Iraq. Dengan menggunakan alasan tersebut mereka mendapat mandat dari kuasa-kuasa besar untuk menyerang Iraq.

Sehingga Saddam Husein berjaya ditangkap, Iraq hancur berkecai namun senjata pemusnah tidak juga dijumpai. Maka kewujudan isu RBA oleh kumpulan rasis Melayu itu tidak lebih dari idea yang diciplak dari White House. Amerika menggunakan modal senjata pemusnah untuk hancurkan Iraq, manakala kumpulan rasis Melayu menggunakan RBA untuk cuba memusnahkan DAP.

*Penulis adalah bekas Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah.

Tiada ulasan: